
Vin Diesel memberi bayangan bahawa peminat bakal disajikan dengan penutup epik buat francais Fast & Furious apabila menyifatkan skrip filem Fast Forever sebagai karya terbaik yang pernah dibacanya dalam beberapa dekad, lapor The Hollywood Reporter.
Pelakon yang membawa watak Dominic Toretto itu berkongsi perkara tersebut menerusi Instagram selepas selesai membaca skrip filem ke-11 francais berkenaan, yang dijadualkan menemui penonton pada tahun 2028.
Dalam hantaran yang turut mempromosikan tayangan semula filem asal The Fast and the Furious sempena ulang tahun ke-25, Diesel memuji hasil tulisan Michael Lesslie.
“Saya baru sahaja membaca skrip Fast Forever karya Michael Lesslie. Ia adalah skrip terbaik yang saya baca dalam beberapa dekad. Saya masih menangis.”
Beliau turut mengusik peminat dengan berkata bahawa apabila filem itu ditayangkan pada 17 Mac 2028 nanti, mereka akan bersyukur kerana sempat menyaksikan filem pertama The Fast and the Furious kembali ke pawagam pada musim panas ini.
Filem asal The Fast and the Furious akan kembali ditayangkan di pawagam bermula 21 Ogos sempena ulang tahun ke-25 francais tersebut.
Fast Forever merupakan sekuel kepada Fast X (2023) yang diarahkan oleh Louis Leterrier.
Pada asalnya, filem susulan itu dijadualkan ditayangkan pada musim bunga 2025, namun ia ditangguhkan sebelum Universal menetapkan tarikh tayangan baharu pada 2028.
Fast X menampilkan barisan pelakon utama francais seperti Michelle Rodriguez, Tyrese Gibson, Ludacris, Jordana Brewster dan Sung Kang, selain turut dibintangi Jason Statham, John Cena, Helen Mirren, Charlize Theron, Jason Momoa, Brie Larson dan Alan Ritchson.
Pada Februari 2024, Vin Diesel mengesahkan bahawa filem ke-11 ini akan menjadi penamat kepada siri utama Fast & Furious.
Tahun lalu ketika menghadiri acara automotif FuelFest yang dianjurkan oleh Cody Walker, adik kepada mendiang Paul Walker, Diesel mendedahkan bahawa filem terakhir itu akan membawa francais kembali kepada identiti asalnya.
Menurut beliau, Fast Forever akan memberi fokus semula kepada budaya kereta dan perlumbaan jalanan yang menjadi nadi utama francais sejak filem pertama.
Selain itu, Diesel turut mengusik kemungkinan pertemuan semula antara Dominic Toretto dan Brian O’Conner, watak ikonik yang pernah dilakonkan oleh mendiang Paul Walker.
Penghormatan Buat Paul Walker
Paul Walker meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 30 November 2013 ketika berusia 40 tahun.
Ketika itu, penggambaran Furious 7 masih belum selesai. Baki babaknya disempurnakan menggunakan gabungan teknologi CGI, rakaman arkib serta bantuan dua adiknya, Caleb dan Cody Walker, sebagai pelakon pengganti.
Sehingga kini, francais Fast & Furious telah mengutip lebih AS$7 bilion di box office seluruh dunia, menjadikannya antara francais filem paling berjaya dalam sejarah Hollywood.
Selain filem, platform penstriman Peacock turut sedang membangunkan sebuah siri televisyen yang diadaptasi daripada dunia Fast & Furious.
