
Marvel Studios telah kongsikan poster terbaharu Avengers: Doomsday yang sebelum ini dipamerkan di Comic-Con Málaga. Namun, satu perubahan kecil pada poster tersebut kini mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan kemunculan semula Scarlet Witch.
Poster berkenaan menampilkan Doctor Doom bersama tiga figura misteri yang dipercayai sebagai Latverian Witches. Ketiga-tiga watak itu sebelum ini pernah diperlihatkan kepada umum menerusi pameran kostum Marvel Studios di San Diego Comic-Con pada Julai lalu, masing-masing mengenakan pakaian berwarna hijau, kuning dan ungu.
Namun, dalam poster rasmi Avengers: Doomsday, salah seorang daripada mereka kini dilihat mengenakan kostum berwarna merah, menggantikan warna kuning yang dipamerkan sebelum ini.
Perubahan tersebut pantas menarik perhatian peminat MCU, dengan sebahagian daripada mereka mula mengaitkan warna merah itu dengan Wanda Maximoff, atau Scarlet Witch lakonan Elizabeth Olsen.
Setakat ini, Marvel Studios masih belum mengesahkan bahawa figura tersebut adalah Scarlet Witch ataupun Olsen akan muncul dalam Avengers: Doomsday. Oleh itu, kaitan antara watak berkenaan dengan Wanda masih sekadar teori peminat.
Dua lagi Latverian Witches yang mengenakan kostum hijau dan ungu turut menjadi bahan spekulasi. Antara nama yang dikaitkan oleh peminat ialah Clea dan Sylvie, dua watak MCU yang mempunyai hubungan dengan Multiverse menerusi Doctor Strange in the Multiverse of Madness dan siri Loki. Bagaimanapun, identiti sebenar ketiga-tiga watak tersebut masih dirahsiakan.
Sekiranya Scarlet Witch benar-benar mempunyai kaitan dengan Doctor Doom dalam filem ini, ia turut membuka kemungkinan Marvel Studios mengambil inspirasi daripada jalan cerita komik Avengers: The Children's Crusade.
Dalam komik tersebut, Wanda Maximoff telah hilang ingatan dan mempunyai hubungan penting dengan Doctor Doom, dimana penjahat itu cuba memanipulasi kuasanya. Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa Avengers: Doomsday akan mengadaptasi jalan cerita berkenaan.
Joe Russo sebelum ini turut memberi sedikit gambaran mengenai Victor Von Doom lakonan Robert Downey Jr., dengan menyifatkannya sebagai seorang watak yang sangat berkuasa, genius dan sentiasa merancang tindakannya dengan teliti.
Menurut Russo, Doom akan mengkaji musuhnya terlebih dahulu dan memastikan dia mempunyai kelebihan dari segi taktikal atau kuasa sebelum berhadapan dengan mereka. Disebabkan itu, Doom bakal menjadi ancaman yang sangat sukar untuk ditewaskan.
Avengers: Doomsday akan menghimpunkan wira daripada beberapa dunia berbeza yang berdepan ancaman besar apabila realiti mereka berada di landasan pertembungan.
Selain Robert Downey Jr., filem ini turut dibintangi Chris Evans, Chris Hemsworth, Anthony Mackie, Tom Hiddleston, Sebastian Stan, Letitia Wright, Paul Rudd dan Florence Pugh.
Barisan Fantastic Four yang terdiri daripada Pedro Pascal, Vanessa Kirby, Joseph Quinn dan Ebon Moss-Bachrach turut menyertai filem ini bersama beberapa pelakon daripada francais X-Men, termasuk Patrick Stewart, Ian McKellen, James Marsden, Rebecca Romijn, Kelsey Grammer dan Alan Cumming.
Diarahkan oleh Joe dan Anthony Russo, Avengers: Doomsday dijadualkan menemui penonton pada 17 Disember ini.

