
Netflix bakal membawa penonton menyaksikan semula salah satu bencana alam paling dahsyat pernah melanda Mexico menerusi filem Surviving Hurricane Otis, yang akan ditayangkan secara global pada 23 Oktober ini.
Berdasarkan kejadian sebenar pada 2023, filem survival dari Mexico itu diarahkan oleh Jorge Michel Grau, yang sebelum ini menghasilkan We Are What We Are. Grau turut menulis skrip bersama José Leonor Alejandro dan Venancio Villalobos.
Surviving Hurricane Otis mengikuti Wirpul dan saudara tirinya, Cándido, ketika mereka terperangkap dalam Taufan Otis yang melanda Acapulco. Dalam usaha untuk terus hidup, hubungan persaudaraan dan keberanian mereka diuji ketika berdepan kekuatan ribut yang memusnahkan bandar tersebut.
Benny Emmanuel membawakan watak Wirpul, manakala Kristyan Ferrer tampil sebagai Cándido. Barisan pelakon lain termasuk Mónica Del Carmen, Mónica Jiménez, Andrew Leland Rogers dan Gonzalo Vega Jr.
Apa yang menarik, produksi filem ini cuba menggambarkan perjalanan Taufan Otis dengan sebaik mungkin berdasarkan kejadian sebenar.
Menurut Grau, pasukan produksi mengkaji pergerakan taufan tersebut secara terperinci, termasuk waktu dan arah tiupan angin. Maklumat itu kemudian digunakan ketika penggambaran bagi menunjukkan bagaimana taufan tersebut semakin menghampiri sebelum memerangkap dua watak utamanya.
Grau turut menyifatkan Surviving Hurricane Otis sebagai sebuah produksi bencana pada skala yang belum pernah dilakukan oleh industri perfileman Mexico sebelum ini.
Taufan Otis melanda Acapulco pada Oktober 2023 selepas meningkat dengan pantas menjadi taufan Kategori 5. Dengan kelajuan angin mencecah sekitar 165 batu sejam ketika mencapai kekuatan puncaknya, bencana tersebut menyebabkan kemusnahan besar terhadap kediaman, hotel, bekalan elektrik dan infrastruktur di sekitar bandar peranginan itu.
Bencana tersebut turut mengorbankan sekurang-kurangnya 52 nyawa, manakala kerosakan dianggarkan mencecah antara AS$12 bilion hingga AS$16 bilion.
Selain mengetengahkan kisah survival dua beradik, Surviving Hurricane Otis bakal membawa penonton melihat kembali detik-detik ketika bencana tersebut melanda menerusi perspektif mereka yang terperangkap di tengah-tengahnya.
Surviving Hurricane Otis akan ditayangkan secara global di Netflix bermula 23 Oktober 2026.
Sementara menantikan tayangannya, anda boleh saksikan trailer rasmi Surviving Hurricane Otis yang kami sertakan di bawah.
Sumber: What's on Netflix / El PaÃs

