
Filem seram terbaharu terbitan A24, The Masque of the Red Death, yang dibintangi Mikey Madison (Anora, Scream), dijangka menemui penonton pada 2027.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Madison ketika ditemu bual ScreenRant bagi mempromosikan projek terbaharunya, The Social Reckoning.
Menurut pelakon tersebut, The Masque of the Red Death merupakan sebuah projek yang sangat berbeza daripada karya lakonannya sebelum ini, khususnya dari segi latar zaman pertengahan dan pendekatan penceritaannya.
Madison turut menggambarkan filem berkenaan sebagai sebuah karya yang pelik dan sukar dijangka, dengan gabungan unsur komedi slapstick, drama serta situasi yang luar biasa.
Malah, dia mengakui masih belum memahami sepenuhnya pendekatan filem tersebut, namun menyifatkan pengalaman melakonkan dua watak berbeza sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Ditulis dan diarahkan oleh Charlie Polinger (The Plague), The Masque of the Red Death merupakan olahan semula cerpen seram Gothic karya Edgar Allan Poe yang diterbitkan pada 1842.
Filem ini mengisahkan seorang putera yang tidak waras dan memberikan perlindungan kepada golongan bangsawan di istananya ketika wabak berbahaya sedang melanda masyarakat bawahan.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila seorang wanita daripada golongan bawahan, yang sebenarnya merupakan saudara kembar kepada salah seorang penghuni istana, berjaya memasuki kawasan tersebut.
Kehadirannya membawa penonton menyelami kehidupan golongan bangsawan yang dipenuhi pesta liar, penyalahgunaan candu, perebutan kuasa, dendam dan pembunuhan kejam.

Madison akan membawakan dua watak adik-beradik kembar dalam filem ini, manakala Léa Seydoux (Dune: Part Two) turut membintangi filem tersebut sebagai seorang dayang istana yang menggunakan pelbagai muslihat untuk meningkatkan kedudukannya.
Walaupun diadaptasi daripada karya seram klasik, Polinger sebelum ini menjelaskan bahawa versi baharunya tidak akan menggunakan pendekatan yang terlalu serius atau muram seperti cerita asal.
Sebaliknya, filem ini akan lebih menjurus kepada komedi gelap dengan gaya penceritaan yang lebih keterlaluan, sambil meneroka hubungan dan konflik antara sekumpulan individu yang terperangkap dalam ruang tertutup.
Untuk rekod, cerpen asal The Masque of the Red Death mengisahkan seorang putera yang cuba menyelamatkan dirinya daripada wabak maut dikenali sebagai Red Death dengan berlindung di sebuah biara.
Karya tersebut pernah diadaptasi ke layar perak pada 1964 menerusi filem arahan Roger Corman yang dibintangi Vincent Price.
Versi terbaharu A24 mula menjalani penggambaran pada Februari 2026 selepas diumumkan pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, tarikh tayangan rasmi masih belum diumumkan oleh pihak studio.
