
Pengarah filem seram terkenal, Mike Flanagan, mendedahkan hasratnya untuk menghasilkan filem baru Jaws, yang kali terakhir muncul di layar perak hampir empat dekad lalu.
Perkara itu dikongsikan Flanagan menerusi sesi Ask Me Anything (AMA) di Reddit baru-baru ini, ketika mempromosikan projek terbaharunya, Carrie, yang diadaptasi daripada novel karya Stephen King.
Ketika menjawab pertanyaan peminat, Flanagan mengakui bahawa pada awal kerjayanya, dia tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam pembikinan filem francais atau sekuel. Bagaimanapun, pandangannya berubah apabila berpeluang menghasilkan karya berdasarkan dunia fiksyen yang sudah dikenalinya.
Menurut Flanagan, dia gemar meneroka dunia penceritaan yang diminati dan dihormatinya, sambil memberikan pendekatan tersendiri terhadap karya tersebut.
Malah, Flanagan secara terbuka menyatakan keinginannya untuk menghasilkan sebuah filem Jaws.
Walaupun mengakui bahawa tiada filem baharu mampu menandingi karya asal arahan Steven Spielberg, Flanagan percaya masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki kualiti sekuel-sekuelnya.
Pandangan itu turut dikaitkan dengan penglibatannya dalam francais The Exorcist, yang kini diteruskan menerusi filem terbaharu arahannya, The Exorcist: Martyrs, yang dijadualkan ditayangkan pada 12 Mac 2027.
Selain Jaws, Flanagan turut menyatakan minat untuk menghasilkan sebuah filem dalam francais Jurassic Park/Jurassic World.
Menurutnya, dia mahu membawa pendekatan yang lebih menakutkan sekiranya diberi peluang mengarahkan filem Jurassic.
Flanagan berpendapat bahawa menghasilkan sebuah filem seram yang benar-benar memberi tumpuan kepada ancaman dinosaur merupakan sesuatu yang menarik untuk diterokai.
Untuk rekod, francais Jaws bermula menerusi filem arahan Steven Spielberg pada 1975, sebelum diteruskan dengan tiga sekuel. Filem terakhirnya, Jaws: The Revenge, ditayangkan pada 1987.
Berbeza dengan Jaws, francais Jurassic masih aktif dengan sebuah lagi filem baharu dilaporkan sedang dalam pembangunan.
Bagaimanapun, hasrat Flanagan untuk mengarahkan filem Jaws atau Jurassic setakat ini hanyalah minat peribadinya dan belum melibatkan sebarang pengumuman rasmi mengenai penglibatannya dalam kedua-dua francais tersebut.
Sumber: Bloody Disgusting
