
Netflix mengumumkan pemberhentian kira-kira 1,000 pekerja, bersamaan 6% daripada keseluruhan tenaga kerjanya, sekali gus menjadi langkah pengurangan kakitangan terbesar pernah dilakukan oleh gergasi penstriman itu.
Menurut laporan Variety, pemberhentian tersebut melibatkan beberapa bahagian utama syarikat, khususnya pasukan pembangunan produk, teknologi, perundangan dan sumber manusia.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi memo dalaman yang dihantar kepada pekerja pada Rabu oleh dua Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos dan Greg Peters.
Dalam memo berkenaan, kedua-duanya menjelaskan bahawa langkah penyusunan semula organisasi itu bertujuan memastikan sumber dan tenaga kerja syarikat dapat ditumpukan kepada bidang yang menjadi keutamaan.
Mereka turut mengakui bahawa keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah dan memberi jaminan bahawa pekerja yang terjejas akan menerima sokongan sepanjang proses peralihan.
Pengumuman ini dibuat ketika Netflix masih mencatatkan pertumbuhan kewangan yang kukuh. Sepanjang 2025, syarikat itu merekodkan pendapatan sebanyak AS$45.2 bilion, meningkat 16% berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih melonjak 26% kepada AS$11 bilion.
Netflix yang kini mempunyai lebih 325 juta pelanggan di seluruh dunia turut menjangkakan pendapatannya bagi 2026 mencecah antara AS$51 bilion hingga AS$51.4 bilion.
Bagaimanapun, kebimbangan pelabur terhadap pertumbuhan kadar penggunaan perkhidmatan dalam kalangan pelanggan pada separuh pertama 2026 menjadi antara cabaran yang dihadapi syarikat itu.
Sarandos dan Peters menegaskan bahawa perniagaan Netflix masih berada dalam keadaan kukuh dan berkembang, selain kekal berada pada landasan untuk mencapai sasaran kewangan tahun ini.
Mereka turut menyatakan bahawa Netflix akan terus membuat pelaburan besar dalam bidang yang berpotensi meningkatkan mutu perkhidmatan, menggalakkan inovasi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Ini bukan kali pertama Netflix melaksanakan pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Pada 2022, kira-kira 450 kakitangan kehilangan pekerjaan susulan penurunan jumlah pelanggan buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad.
Netflix dijadualkan mengumumkan keputusan kewangan bagi suku ketiga 2026 pada 20 Oktober ini, yang bakal memberikan gambaran lanjut mengenai prestasi syarikat selepas pengumuman penyusunan semula tersebut.
