Kakimuvee
BeritaOfficial Trailer

Treler I Play Rocky Paparkan Perjuangan Sylvester Stallone Merealisasikan Impian Menjadi Rocky Balboa

Bukan sekadar kisah di dalam gelanggang, Rocky juga menyimpan sejarah yang cukup luar biasa di sebalik pembikinannya.

Filem biografi terbaharu I Play Rocky membawa penonton menelusuri perjalanan Sylvester Stallone ketika berusaha merealisasikan impiannya untuk menghasilkan filem yang akhirnya mengubah hidupnya dan mencipta sejarah dalam dunia perfileman.

Amazon MGM Pictures telah melancarkan treler rasmi I Play Rocky, sebuah drama biografi arahan Peter Farrelly yang mengangkat kisah di sebalik pembikinan filem klasik Rocky (1976).

Pelakon Grand Army, Anthony Ippolito, membawakan watak Sylvester Stallone, memaparkan perjalanan pelakon itu yang bukan sahaja menulis skrip Rocky, malah berkeras mahu membintangi watak utama, Rocky Balboa.

Menurut sinopsis rasmi yang dikongsikan Amazon MGM, filem ini mengisahkan “kisah benar Sylvester Stallone dan kepercayaannya yang tidak pernah goyah bahawa dia bukan sekadar ditakdirkan untuk menulis Rocky, tetapi juga menjadi Rocky Balboa.”

Selain Ippolito, filem ini turut dibintangi Stephan James sebagai Carl Weathers, bersama AnnaSophia Robb, Matt Dillon, Toby Kebbell, Tracy Letts, Jay Duplass dan Robert Morgan.

I Play Rocky menandakan kembalinya Peter Farrelly ke genre drama selepas mengarahkan filem komedi dewasa Ricky Stanicky dan Balls Up untuk Amazon. Sebelum itu, Farrelly pernah mengarahkan Green Book yang memenangi Anugerah Oscar bagi kategori Filem Terbaik.

Anthony Ippolito juga bukan asing membawakan watak ikon Hollywood era 1970-an. Sebelum ini beliau melakonkan watak Al Pacino dalam siri terhad The Offer terbitan Paramount+, yang memfokuskan kepada pembikinan filem The Godfather.

Rocky dihasilkan dengan bajet kurang daripada AS$1 juta sebelum muncul sebagai filem pecah panggung terbesar pada tahun 1976. Filem tersebut turut memenangi Anugerah Oscar bagi kategori Filem Terbaik dan kemudian berkembang menjadi francais yang melahirkan beberapa sekuel serta siri spin-off Creed.

I Play Rocky dijadualkan menemui penonton di pawagam pada November ini menerusi Amazon MGM Pictures.

Sumber: Variety

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Project Hail Mary Dinobatkan Filem Terbaik di Astra Midseason Awards 2026

Karim Khan

Tony Jaa, Bintang Filem ‘Ong Bak’, Hidap Kanser Tahap 3

Karim Khan

The Shrine (2026): Filem Seram Okultisme Korea Selatan Berlatar Kuil Terbiar Jepun

Karim Khan

Frozen 3 Perkenal Villain Baharu, Olaf Mungkin Mempunyai Cinta Hati

Karim Khan

Lewis Pullman Kongsi Pengalaman Berlakon Bersama Bapa Dalam Spaceballs: The New One

Karim Khan

Wildwood Bakal Jadi Filem Animasi Stop-Motion Terpanjang Pernah Dihasilkan

Farah

Leave a Comment