Kakimuvee
DisneyPlus

Tiket D23 Asia 2027 Mula Dijual 24 November Ini, Harga Bermula RM219

Peminat Disney di Asia kini boleh mula merancang perjalanan mereka ke Singapura apabila tiket untuk D23 Asia: The Ultimate Disney Fan Event bakal mula dijual pada 24 November 2026 menerusi platform Klook. Acara yang julung kali dianjurkan di Asia ini akan berlangsung selama tiga hari, dari 25 hingga 27 Jun 2027, bertempat di Marina Bay Sands, Singapura.

Dibawakan dengan kerjasama Visa sebagai penaja utama, D23 Asia bakal menghimpunkan pelbagai pengumuman eksklusif, pratonton projek akan datang, persembahan secara langsung serta pengalaman interaktif yang diinspirasikan daripada dunia Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, Disney+ dan Hulu.

Antara tarikan utama acara ini ialah tiga persembahan Premiere Stage yang akan berlangsung pada setiap malam, selain lebih 15 pengalaman khas yang disediakan untuk pengunjung. Peminat juga berpeluang mendapatkan barangan eksklusif di D23 Marketplace serta mengikuti pelbagai program menarik menerusi Storytellers Stage, Talent Central dan Spotlight Stage.

Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada peminat, Disney menawarkan tiga jenis pas dengan harga dan keistimewaan berbeza, bergantung kepada tempoh kehadiran serta pengalaman yang ingin dinikmati sepanjang acara berlangsung.

Pas pertama ialah Convention Pass yang memberikan akses ke ruang konvensyen, termasuk pelbagai aktiviti, pengalaman interaktif dan kawasan jualan barangan eksklusif. Bagaimanapun, pas ini tidak merangkumi tempat duduk untuk persembahan Premiere Stage. Harga yang ditawarkan bermula sekitar RM219 untuk sehari, RM438 bagi dua hari dan RM657 untuk tiga hari.

Bagi peminat yang mahu mengikuti persembahan utama, Convention + Premiere Stage Pass menawarkan akses ke ruang konvensyen bersama tempat duduk yang dijamin untuk persembahan Premiere Stage pada hari berkenaan. Terdapat empat kategori tempat duduk yang boleh dipilih dengan harga seperti berikut:

Kategori1 Hari2 Hari3 Hari
Kategori 1RM790RM1,581RM2,371
Kategori 2RM663RM1,327RM1,990
Kategori 3RM536RM1,073RM1,609
Kategori 4RM410RM819RM1,229

Sementara itu, peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif boleh mendapatkan Platinum Pass pada harga sekitar RM3,139. Pas ini merangkumi akses penuh selama tiga hari, tempat duduk pilihan dalam Kategori 1 untuk setiap persembahan Premiere Stage serta pek hadiah eksklusif D23 Asia. Hanya 200 pas ditawarkan bagi kategori ini.

Selain acara utama, peminat turut berpeluang melanjutkan pengalaman Disney mereka menerusi pelayaran Disney Adventure, kapal pertama Disney Cruise Line yang berpangkalan di Asia.

Melalui Klook, dua pakej khas yang menggabungkan D23 Asia dengan pelayaran tiga malam menaiki Disney Adventure akan ditawarkan. Pengunjung yang membuat tempahan menggunakan kad UOB Visa turut layak menerima kredit tambahan untuk digunakan di atas kapal bagi pelayaran terpilih.

Malah, semua pemegang tiket D23 Asia juga berpeluang menikmati kadar istimewa menerusi Klook untuk pelayaran Disney Adventure yang berlangsung antara Mei hingga Julai 2027.

Dari segi penjualan tiket, pemegang kad kredit dan debit UOB Visa yang layak di Malaysia akan menikmati akses pembelian awal bermula 24 November 2026, iaitu 48 jam sebelum jualan dibuka kepada orang ramai.

Pada 25 November pula, pemegang kad Visa Infinite, Visa Infinite Privilege dan Visa Infinite Private di Malaysia akan diberikan akses kepada sesi prajualan khas, sebelum jualan umum dibuka secara rasmi pada 26 November 2026.

Naib Presiden Eksekutif The Walt Disney Company Asia Pacific merangkap bakal Presiden Asia Pasifik, Carol Choi, berkata D23 Asia merupakan satu bentuk penghargaan terhadap semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh peminat Disney di rantau ini.

Menurutnya, kerjasama bersama Visa dan Klook akan memudahkan peminat dari seluruh Asia untuk menyertai acara tersebut, bermula daripada proses pembelian tiket sehinggalah pengalaman mereka di Singapura pada Jun tahun hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Visa Asia Pacific, Danielle Jin, menyifatkan kerjasama ini sebagai peluang untuk mendekatkan peminat dengan dunia Disney melalui akses tiket lebih awal, kemudahan pembayaran serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

Pengurus Besar Klook bagi Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, Sarah Wan, pula berkata acara seperti D23 Asia kini menjadi antara faktor utama yang mendorong peminat untuk melancong. Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman Klook bekerjasama dengan Disney dalam sektor taman tema dan pelayaran akan membantu menjayakan penganjuran acara berskala besar ini.

Bagi peminat di Malaysia yang merancang untuk menghadiri D23 Asia, pendaftaran minat kini boleh dibuat menerusi laman rasmi Klook bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai penjualan tiket.

Semua tiket tertakluk kepada ketersediaan, manakala maklumat lanjut mengenai pembelian, kelayakan pemegang kad serta terma dan syarat akan diumumkan melalui Klook.

Untuk perkembangan terkini mengenai D23 Asia: The Ultimate Disney Fan Event, peminat boleh melayari D23Asia.com atau mengikuti akaun Instagram rasmi @D23Asia.

Nota: Semua harga dalam Ringgit Malaysia adalah anggaran berdasarkan kadar pertukaran SGD1 = RM3.1744 pada 18 November 2026. Harga sebenar mungkin berbeza mengikut kadar pertukaran dan caj yang dikenakan ketika pembelian.

Sumber: The Walt Disney Company Asia Pacific

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

The Remarried Empress Cipta Rekod Baharu Disney+, Ungguli Tayangan Perdana Drama Korea Di Lebih 50 Pasaran

Karim Khan

Shin Min Ah Tampil Anggun Dalam Poster Pertama Drama The Remarried Empress

Karim Khan

Rancangan Misteri Baharu ‘Murder Club: Liar’s Table’ Bakal Temui Penonton Di Disney+ 29 Julai Ini

Farah

Disney+ Akan Terbitkan Siri Live Action Afterlife with Archie

Karim Khan

Marvel Zombies Akan Menghasilkan 3 Annual Special Bermula 2027

Karim Khan

Netflix Kongsi Treler Pertama Khas LEGO One Piece

Karim Khan

Leave a Comment