Kakimuvee
Superhero / Live-Action / Comic

James Gunn Buang Jawatan Co-CEO DC Studios Daripada Bio Media Sosial, Kini Fokus Sebagai Pengarah

James Gunn

Selepas meninggalkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (Co-CEO) DC Studios, James Gunn kini mengemas kini profil media sosialnya dengan membuang segala rujukan terhadap jawatan tersebut, sekali gus memberi gambaran mengenai hala tuju kerjayanya selepas tidak lagi menerajui studio berkenaan.

Menerusi akaun Threads miliknya, Gunn menggantikan maklumat jawatan terdahulu dengan keterangan baharu, “Strictly Writer/Director”, yang menunjukkan beliau kini mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya sebagai penulis skrip dan pengarah filem.

Profil tersebut turut menyenaraikan beberapa karya popularnya seperti Superman, Guardians of the Galaxy dan Peacemaker, selain menyelitkan sedikit maklumat mengenai kehidupan peribadinya.

Perubahan itu dibuat beberapa hari selepas Gunn dan Peter Safran dilaporkan digugurkan daripada kepimpinan DC Studios susulan rombakan pengurusan oleh Skydance. Bekas eksekutif Marvel Studios, Jeremy Latcham, telah dipilih untuk mengambil alih kepimpinan studio tersebut berkuat kuasa 1 Disember 2026.

Menurut laporan media hiburan Hollywood, perubahan kepimpinan itu dikaitkan dengan ketegangan antara Gunn dan Safran dengan pihak pengurusan baharu Skydance yang diterajui David Ellison. Prestasi kutipan box office filem Superman dan Supergirl turut dilaporkan menjadi antara faktor yang mencetuskan rasa tidak puas hati pihak pengurusan.

Gunn sebelum ini turut mengulas mengenai pemergiannya daripada DC Studios menerusi Threads. Beliau mengakui tugas menguruskan studio berkenaan bukan sesuatu yang mudah, malah terdapat aspek korporat dalam jawatan tersebut yang semakin kurang disenanginya.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan eksekutif, Gunn masih mempunyai beberapa projek yang sedang dibangunkan bersama DC Studios, termasuk filem Man of Tomorrow yang telah menamatkan penggambaran pada Ogos lalu dan dijadualkan menemui penonton pada 2027.

Beliau juga mengesahkan akan terus bekerjasama dengan DC Studios untuk projek lain selepas Man of Tomorrow, meskipun belum memperincikan perancangan tersebut.

Bagaimanapun, masa depan beberapa projek DC yang dirancang di bawah kepimpinan terdahulu masih menjadi tanda tanya. Menurut wartawan Puck News, Matthew Belloni, sebahagian besar perancangan selepas Man of Tomorrow berkemungkinan akan dirombak atau dibatalkan susulan perubahan kepimpinan studio.

Dengan perubahan pada profil media sosialnya, Gunn dilihat kini kembali memberikan keutamaan kepada bidang kreatif yang telah membina namanya di Hollywood, selepas beberapa tahun menggalas tanggungjawab sebagai peneraju DC Studios.

Sumber: ComingSoon.

Related posts

Trailer Akhir Clayface Masih Rahsiakan Rupa Penuhnya

Karim Khan

WandaVision, Agatha All Along Dan VisionQuest Dikhabarkan Menjadi Rancangan Penting Sebelum Avengers: Secret Wars

Karim Khan

Batman Sebenarnya Sudah Aktif Di Gotham Ketika Peristiwa Clayface Berlaku

Karim Khan

Peminat Zack Snyder Desak Pemilik Baharu Warner Bros. Hidupkan Semula SnyderVerse

Karim Khan

Avengers: Doomsday Dikhabarkan Masih Jalani Penggambaran Semula

Karim Khan

Clayface Bakal Ditayangkan Dalam Empat Format, Namun Tiada IMAX

Karim Khan

Leave a Comment