
Filem Khadam muncul sebagai pemenang terbesar Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) apabila berjaya membawa pulang sembilan anugerah, termasuk dua kategori utama iaitu Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik menerusi Shamyl Othman.
Majlis anugerah yang berlangsung pada 21 November 2026 itu turut menyaksikan Badak menyerlah dalam kategori lakonan apabila Shaheizy Sam dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Aida Amron meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik.
Daripada 25 kategori yang dipertandingkan, Khadam mengungguli sembilan kategori, sekali gus memperlihatkan penguasaan filem tersebut dalam pelbagai aspek pembikinan, termasuk pengarahan, lakon layar, sinematografi, muzik dan penataan bunyi.
Selain Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, Khadam turut memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik menerusi Fariza Azlina Isahak, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Zarra Zhaff, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik serta Lagu Tema Terbaik menerusi lagu Tak Berlagu.
Sementara itu, Badak membawa pulang dua anugerah utama menerusi kategori lakonan, manakala Malam Terlarang, Tarung: Unforgiven, Macai dan The Wave Will Carry Us masing-masing turut meraih dua kemenangan.
Malam Terlarang memenangi Kesan Khas Visual Terbaik dan Pelakon Wanita Harapan menerusi Aila Azizul, sementara Tarung: Unforgiven meraih Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik serta Pelakon Lelaki Harapan menerusi Mierul Aiman.

Macai pula memenangi Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Kuben Mahadevan, manakala The Wave Will Carry Us meraih Penyunting Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Jordan Kuan.
Selain kategori utama, FFM35 turut memberikan beberapa pengiktirafan khas kepada karya dan penggiat seni tanah air. Anugerah Khas Juri diberikan kepada Aghiny Haque menerusi Khadam dan filem Badak, manakala Panchacharam P. Nalliah menerima Anugerah Khas Karyawan FFM35.
Dua tokoh seni tanah air, Seniman Ahmad Yatim dan Seniwati Fauziah Ahmad Daud, turut menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam industri seni tanah air.
Sementara itu, Papa Zola The Movie menerima Anugerah Khas Filem Box Office sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian komersialnya.
Festival Filem Malaysia Ke-35 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merupakan platform pengiktirafan kepada penggiat industri perfileman tempatan, sekali gus meraikan pencapaian serta kecemerlangan karya-karya filem Malaysia.

Senarai Penuh Penerima Anugerah Festival Filem Malaysia 35
- Poster Terbaik - BLUES
- Kesan Khas Visual Terbaik - MALAM TERLARANG
- Tatarias/Solekan Terbaik - KHADAM
- Rekaan Kostum / Busana Terbaik - GAYONG 2
- Filem Pendek Terbaik - SALTED FISH
- Dokumentari Terbaik - CEKAL : KISAH BONNIE BUNYAU GUSTIN
- Lagu Tema Terbaik - TAK BERLAGU (KHADAM)
- Penataan Bunyi Terbaik - KHADAM
- Skor Muzik Asal Terbaik - KHADAM
- Penataan Seni Terbaik - MOTHER BHUMI
- Sinematografi Terbaik - KHADAM
- Penyunting Terbaik - THE WAVE WILL CARRY US
- Pelakon Kanak-kanak Terbaik - JORDAN KUAN (THE WAVE WILL CARRY US)
- Aksi & Lagak Ngeri Terbaik - DEFENDERZ ACTION TEAM (TARUNG : UNFORGIVEN)
- Pelakon Wanita Harapan - AILA AZIZUL (MALAM TERLARANG)
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - ZARRA ZHAFF (KHADAM)
- Pelakon Lelaki Harapan - MIERUL AIMAN (TARUNG : UNFORGIVEN)
- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - KUBEN MAHADEVAN (MACAI)
- Pelakon Wanita Terbaik - AIDA AMRON (BADAK)
- Pelakon Lelaki Terbaik - SHAHEIZY SAM (BADAK)
- Lakon Layar Terbaik - FARIZA AZLINA ISAHAK (KHADAM)
- Cerita Asal Terbaik - MACAI
- Pengarah Harapan - EZRIE GHAZALI (ABAH SAYA UNCLE MIKE)
- Pengarah Terbaik - SHAMYL OTHMAN (KHADAM)
- FILEM TERBAIK - KHADAM
ANUGERAH KHAS JURI
- 1. AGHINY HAQUE (KHADAM)
- 2. BADAK
ANUGERAH KHAS KARYAWAN FFM35
- PANCHACHARAM P. NALLIAH
ANUGERAH KHAS SEPANJANG ZAMAN
- SENIMAN AHMAD YATIM
- SENIWATI FAUZIAH AHMAD DAUD
Anugerah Khas Filem Box Office - PAPAZOLA THE MOVIE
