Kakimuvee
Horror

Violent Night 2 Bakal Singkap Masa Silam Santa Claus Sebagai Pahlawan Viking

David Harbour kembali sebagai Santa Claus dalam Violent Night 2, sekuel kepada filem aksi komedi ganas yang ditayangkan pada tahun 2022. Selain menjanjikan lebih banyak aksi berdarah, filem kali ini bakal meneroka dengan lebih mendalam sejarah silam Santa Claus ketika bergelar seorang pahlawan Viking.

Dalam filem pertama, penonton didedahkan secara ringkas mengenai masa lalu Santa Claus yang dahulunya dikenali sebagai Nicomund the Red. Latar belakangnya sebagai seorang pahlawan Viking menjelaskan mengapa figura yang sinonim dengan sambutan Krismas itu begitu mahir bertarung ketika berdepan sekumpulan penjenayah.

Bagaimanapun, kisah di sebalik perubahan Nicomund daripada seorang pahlawan yang ganas kepada figura Santa Claus yang disayangi ramai tidak diterokai secara mendalam dalam filem tersebut.

Menerusi temu bual bersama Variety India, David Harbour mendedahkan bahawa aspek tersebut akan menjadi antara fokus utama dalam Violent Night 2.

“Dalam Violent Night, kita hanya diperlihatkan sedikit kisah mengenai Nicomund. Kali ini, kita akan lebih memahami siapa dirinya dan bagaimana seseorang yang begitu ganas akhirnya menjadi Santa Claus.

“Itulah bahagian daripada mitologi watak ini yang paling saya teruja untuk terokai. Terdapat percanggahan yang cukup menarik antara seorang pahlawan Viking yang berlumuran darah dengan figura periang dan penyayang yang dikenalinya hari ini.

“Apabila Santa mula kembali kepada naluri lamanya, filem ini turut mempersoalkan batas antara melindungi seseorang dengan sekadar menghukum mereka,” jelas Harbour.

Dalam sekuel ini, Santa Claus berdepan situasi yang lebih mencabar apabila kuasa ajaibnya semakin lemah ketika berhadapan dengan seorang ketua samseng kejam lakonan Jared Harris di sebuah pusat beli-belah pada musim perayaan Krismas.

Namun, kali ini Santa tidak bersendirian. Dia turut mendapat bantuan isterinya, Mrs. Claus, yang dilakonkan oleh Kristen Bell.

Tommy Wirkola kembali menggalas tugas sebagai pengarah. Menurut Harbour, Wirkola bukan sahaja meningkatkan elemen keganasan dalam sekuel ini, malah memastikan setiap babak aksi mempunyai peranan dalam perkembangan watak Santa Claus.

“Tommy tidak takut mengambil risiko. Dia sukakan elemen gore, keganasan dan sisi absurd dunia ini, tetapi dia tidak pernah menjadikan semua itu sebagai satu-satunya fokus filem.

“Dia sentiasa memikirkan apa yang boleh didedahkan mengenai Santa menerusi setiap babak. Dia memberikan kebebasan untuk kita membawa watak ini sejauh mungkin, tetapi pada masa sama, perlu ada sesuatu yang tulen di sebaliknya,” tambah Harbour.

Violent Night 2 turut menerima klasifikasi R di Amerika Syarikat kerana mengandungi unsur keganasan yang kuat dan berdarah serta penggunaan bahasa kasar.

Selain David Harbour dan Kristen Bell, filem ini turut dibintangi Daniela Melchior, Jared Harris, Joe Pantoliano, Andrew “King Bach” Bachelor dan ahli gusti profesional Maxwell Jacob Friedman (MJF).

Pat Casey dan Josh Miller, yang sebelum ini menghasilkan skrip filem pertama serta francais Sonic the Hedgehog, turut kembali sebagai penulis skrip sekuel ini.

Violent Night 2 dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 3 Disember 2026.

Sumber: Bloody Disgusting

Related posts

IT: Welcome to Derry Musim 2 Bakal Tampilkan Pennywise Yang Belum Pernah Dilihat Sebelum Ini

Karim Khan

Monster: The Lizzie Borden Story Akan Tayang September Ini

Farah

Insidious: Out Of The Further Bawa Ancaman Baharu Ke Pawagam 20 Ogos Ini

Karim Khan

Heart Eyes 2 Tukar Tarikh Tayangan Ke Februari 2028

Karim Khan

Pemuja Syaitan: Filem Seram Sulung Liyana Jasmay Bakal Menghantui Pawagam 15 Oktober Ini

Karim Khan

American Horror Story Musim 13 Kembalikan Twisty The Clown Dan Watak Ikonik

Karim Khan

Leave a Comment