
Penggambaran The Batman - Part II terus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai ancaman baharu yang bakal dihadapi Batman, dengan petunjuk terbaharu menguatkan kemungkinan kemunculan Court of Owls serta memperkenalkan satu lagi nama yang tidak pernah dikaitkan sebelum ini, Anarky.
Dalam rakaman dan foto dari lokasi penggambaran, Robert Pattinson dilihat kembali sebagai Bruce Wayne ketika wataknya diiringi keluar dari sebuah mahkamah yang dikelilingi penunjuk perasaan.
Apa yang menarik perhatian peminat ialah mesej pada beberapa sepanduk yang dibawa mereka. Antara yang kelihatan termasuk “Court of Fowls”, selain mesej yang menyasarkan golongan oligarki dan golongan kaya.
Kesilapan ejaan “Fowls” itu dilihat sebagai rujukan yang jelas kepada Court of Owls, organisasi rahsia yang terdiri daripada golongan elit Gotham City dalam komik DC.
Petunjuk tersebut menguatkan spekulasi bahawa Court of Owls mungkin akan diperkenalkan secara rasmi dalam The Batman - Part II. Organisasi berkenaan terkenal kerana bergerak secara rahsia dan mempunyai pengaruh besar dalam menentukan halatuju Gotham, menjadikannya ancaman yang berbeza daripada musuh Batman yang pernah dihadapinya dalam filem pertama.
Namun, Court of Owls bukan satu-satunya perkara yang menarik perhatian dari set penggambaran.
Satu foto set turut memperlihatkan seorang individu yang mempunyai penampilan seakan-akan Anarky. Watak tersebut diperkenalkan dalam komik Detective Comics pada penghujung 1980-an yang menggunakan identiti Lonnie Machin.
Lonnie digambarkan sebagai remaja yang sangat bijak dan mempunyai pandangan ekstrem terhadap kerajaan serta syarikat korporat. Selepas tindakannya semakin radikal, dia menggunakan nama Anarky dan akhirnya berdepan dengan Batman.
Bagaimanapun, foto tersebut masih belum cukup untuk mengesahkan bahawa Anarky benar-benar muncul dalam filem. Ada kemungkinan figura berkenaan sekadar Easter egg atau petunjuk yang sengaja diletakkan untuk mengundang spekulasi.
Selain itu, rakaman dari lokasi turut menunjukkan Jeffrey Wright sebagai Jim Gordon. Situasi di Gotham pula kelihatan semakin tegang, dengan Bruce Wayne seolah-olah menjadi sasaran kemarahan orang ramai.
Identiti watak yang dimainkan oleh pelakon baharu juga masih menjadi rahsia. Scarlett Johansson sebelum ini dikaitkan dengan spekulasi membawa watak Poison Ivy, manakala Sebastian Stan turut menjadi subjek pelbagai teori peminat.
Matt Reeves sebelum ini mengesahkan Robert Pattinson, Jeffrey Wright, Andy Serkis, Colin Farrell, Jayme Lawson dan Gil Perez-Abraham akan kembali dalam sekuel ini. Mereka akan bergandingan dengan Johansson, Stan, Charles Dance, Sebastian Koch dan Brian Tyree Henry.
Walaupun watak yang dimainkan oleh sebahagian besar pelakon baharu masih belum didedahkan, petunjuk mengenai Court of Owls dan kemungkinan kemunculan Anarky menunjukkan bahawa The Batman - Part II mungkin mempunyai lebih banyak villain misteri yang masih belum diumumkan.
The Batman - Part II dijadualkan tayang di pawagam pada 18 Februari 2028.
