
Prime Video telah melancarkan trailer rasmi Carrie, siri terhad baharu yang mengadaptasi semula novel seram terkenal karya Stephen King. Kali ini, kisah mengenai remaja dengan kuasa telekinetik itu mendapat sentuhan daripada Mike Flanagan, pembikin filem yang sememangnya tidak asing dengan genre seram.
Berbeza daripada adaptasi terdahulu, versi baharu ini cuba membawa kisah Carrie ke dalam suasana kehidupan remaja masa kini. Buli, tekanan sosial dan pengaruh media sosial menjadi antara elemen yang diberikan perhatian dalam siri tersebut.
Summer Howell memegang watak Carrie White, seorang remaja yang membesar dalam keadaan terasing di bawah kawalan ibunya, Margaret, lakonan Samantha Sloyan. Kehidupan Carrie berubah selepas kematian mengejut bapanya memaksanya berdepan dengan dunia sekolah menengah yang penuh tekanan.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Carrie menjadi mangsa buli yang kemudiannya tular di media sosial. Pada masa sama, dia mula menyedari sesuatu yang luar biasa sedang berlaku terhadap dirinya apabila kuasa telekinetik yang selama ini tersembunyi mula muncul.
Menariknya, Flanagan tidak mahu menghasilkan semula cerita yang sama, sebaliknya, beliau mahu mengambil asas yang dibina King dan mengolahnya mengikut situasi yang dialami remaja zaman sekarang.
Menurut Flanagan, tema seperti buli, kekejaman, empati dan keganasan di sekolah yang diketengahkan King hampir 50 tahun lalu masih mempunyai kaitan dengan realiti hari ini. Perkembangan teknologi dan media sosial pula menjadikan isu tersebut lebih dekat dengan kehidupan generasi muda.
Selain Howell dan Sloyan, siri ini turut menampilkan Siena Agudong sebagai Sue Snell, Alison Thornton sebagai Chris Hargensen, Joel Oulette sebagai Tommy Ross, Josie Tota sebagai Tina, Arthur Conti sebagai Billy, Thalia Dudek sebagai Emaline, Amber Midthunder sebagai Miss Desjardin dan Matthew Lillard sebagai Principal Grayle.
Flanagan bertindak sebagai penulis dan showrunner untuk siri lapan episod ini, selain mengarahkan empat episod. Stephen King pula terlibat sebagai penerbit eksekutif.
Kesemua lapan episod Carrie akan ditayangkan serentak di Prime Video pada 7 Oktober 2026.
Berdasarkan trailer yang didedahkan, siri ini nampaknya mahu mengekalkan elemen seram dan tragik yang sinonim dengan Carrie, tetapi pada masa sama memberikan perspektif baharu terhadap watak serta konflik yang sudah dikenali peminat Stephen King.

