
Cody Rhodes mencetuskan tanda tanya mengenai kemungkinan dirinya menyertai Marvel Cinematic Universe (MCU) selepas bintang WWE itu secara berseloroh menyebut bahawa dirinya merupakan ahli X-Men ketika menghadiri sesi temu bual bersama Nerdist.
Spekulasi tersebut kembali hangat selepas Rhodes berkongsi minatnya terhadap francais X-Men ketika menghadiri sesi temu bual bersama Nerdist sempena promosi filem Street Fighter.
Dalam temu bual itu, Rhodes mengakui dirinya merupakan peminat tegar X-Men dan menganggap Cyclops sebagai ahli terbaik dalam pasukan mutan tersebut.
Menurutnya, kehebatan Cyclops bukan sekadar terletak pada kuasanya, tetapi juga kemampuan Scott Summers memimpin sebuah pasukan yang mempunyai pelbagai personaliti dan sering berdepan konflik dalaman.
Rhodes turut berkongsi pengalamannya bermain permainan video Marvel vs. Capcom, dengan Wolverine dan Ryu antara watak yang sering menjadi pilihannya.
Ketika rakan pelakonnya, Andrew Schulz mencadangkan Jubilee dan Gambit sebagai pilihan lain, Rhodes tetap mempertahankan pendiriannya bahawa Cyclops merupakan ahli X-Men terbaik. David Dastmalchian pula memilih Professor X sebagai watak kegemarannya.
Kenyataan tersebut kembali mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat mengenai kemungkinan Rhodes membawakan salah satu watak mutan dalam filem X-Men akan datang.
Sebelum ini, Rhodes pernah menarik perhatian apabila memuat naik Instagram Story yang menunjukkan dirinya sedang menandatangani autograf dengan muzik tema X-Men '97 dimainkan sebagai latar.
Susulan itu, beberapa peminat mula mencadangkan watak seperti Cable, Colossus, Bishop dan Sabretooth sebagai antara karakter yang sesuai dibawakan oleh ahli gusti berkenaan.
Rhodes sendiri bukanlah asing dalam dunia lakonan adaptasi komik. Dia pernah membawakan watak Derek Sampson dalam tujuh episod siri DC, Arrow, selain pernah mencuba mendapatkan watak Black Bolt untuk siri Marvel, Inhumans, pada 2016.
Buat masa ini, Rhodes bakal muncul sebagai Guile dalam filem adaptasi permainan video Street Fighter, yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa penglibatan Cody Rhodes dalam filem X-Men masih sekadar spekulasi peminat. Setakat ini, tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Marvel Studios mahupun Rhodes sendiri mengenai perkara tersebut.
