
Brendan Fraser dan Rachel Weisz kembali bergandingan sebagai Rick O'Connell dan Evelyn Carnahan-O'Connell dalam The Mummy 4, selepas lebih dua dekad sejak kali terakhir mereka muncul bersama dalam francais pengembaraan popular itu.
Beberapa foto terbaharu dari lokasi penggambaran telah tersebar di media sosial, memberikan gambaran pertama mengenai penampilan kedua-dua pelakon tersebut dalam filem keempat The Mummy.
Foto berkenaan memperlihatkan Fraser mengenakan jaket suede berwarna coklat bersama kemeja berkotak hijau, manakala Weisz tampil dengan blazer dan skirt berwarna burgundy.
Kedua-duanya dilihat sedang menjalani penggambaran sebuah babak yang memperlihatkan watak Rick dan Evelyn berhadapan antara satu sama lain. Beberapa foto di sebalik tabir turut merakamkan mereka ketawa bersama ketika berada di lokasi penggambaran.
Sebelum ini, Fraser pernah dirakam menjalani penggambaran sebuah babak yang dipercayai melibatkan aksi, manakala Weisz pula dilaporkan berada di sekitar British Museum pada September lalu bagi menjalani penggambaran filem berkenaan.
The Mummy 4 bakal menyambung kisah daripada dua filem asal, iaitu The Mummy (1999) dan The Mummy Returns (2001), tanpa meneruskan peristiwa dalam The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor (2008).
Filem terbaharu ini diarahkan oleh Tyler Gillett dan Matt Bettinelli-Olpin, duo pengarah yang pernah menghasilkan Ready or Not dan Scream (2022).
Selain Fraser dan Weisz, beberapa pelakon asal turut dilaporkan kembali, termasuk John Hannah sebagai Jonathan Carnahan, Arnold Vosloo sebagai Imhotep, Oded Fehr sebagai Ardeth Bay dan Kevin J. O'Connor sebagai Beni Gabor.
Numan Acar dan Michael Johnston pula antara pelakon baharu yang menyertai produksi ini.
Setakat ini, butiran mengenai jalan cerita The Mummy 4 masih belum didedahkan secara rasmi.
The Mummy 4 akan ditayangkan di Amerika Syarika pada 15 Oktober 2027, manakala tarikh tayangan Malaysia masih belum dapat disahkan.

