
Pelakon dan calon Oscar dua kali, Colman Domingo, dilaporkan sedang membangunkan sebuah filem live-action baharu yang diinspirasikan daripada filem animasi Disney The Princess and the Frog.
Menurut laporan Deadline, Domingo akan bertindak sebagai penulis bersama Robert O’Hara, iaitu pengarah Slave Play, untuk menghasilkan naskhah asal yang memfokuskan kepada Puteri Tiana.
Projek itu masih berada di peringkat awal pembangunan dan urusan perjanjian masih belum dimuktamadkan.
Tidak seperti adaptasi live-action Disney yang mengolah semula jalan cerita asal, projek ini dilaporkan merupakan sebuah spin-off yang memperluaskan dunia The Princess and the Frog, bukannya adaptasi secara langsung.
Filem animasi The Princess and the Frog yang ditayangkan pada 2009 mengisahkan Tiana, seorang pelayan restoran yang bercita-cita membuka restorannya sendiri sebelum bertemu Putera Naveen yang telah disumpah menjadi seekor katak.
Filem itu meraih kutipan sekitar AS$267 juta di seluruh dunia dan menerima tiga pencalonan Oscar, termasuk kategori Filem Animasi Terbaik.
Setakat ini, Disney masih belum mengumumkan barisan pelakon, tarikh tayangan mahupun butiran lanjut mengenai projek spin-off tersebut.
Sumber: Deadline
