
Hate Thyself akan tersedia di platform digital bermula 1 September 2026.
Studio Dome telah mendedahkan treler rasmi untuk Hate Thyself, sebuah filem thriller psikologi yang menampilkan mendiang Tony Todd dalam salah satu penampilannya.
Filem arahan Shivaan Makker itu dijadualkan ditayangkan di pawagam terpilih di AS serta platform digital bermula 1 September 2026.
Hate Thyself mengisahkan Detektif Angelo Matteo (Oscar Torre), seorang penyiasat yang sangat berpegang teguh pada agama. Kehidupannya berubah apabila dia dan rakan setugasnya, Rufus, ditugaskan untuk menjejaki seorang pembunuh bersiri yang kejam dan menjadikan golongan lelaki muda sebagai sasaran.
Ketika jumlah mangsa terus meningkat, Angelo mula terjerumus ke dalam dunia yang semakin mengganggu. Dalam usaha memburu pembunuh tersebut, keyakinan serta pegangan moralnya mula diuji sehingga sempadan antara menegakkan keadilan dan menjadi obses terhadap kes berkenaan semakin kabur.
Filem ini diinspirasikan sebahagiannya daripada jenayah mengerikan yang dilakukan oleh pembunuh bersiri sebenar, Robert Berdella.
Selain Oscar Torre dan Tony Todd, Hate Thyself turut menampilkan Happy Anderson, Corin Nemec, Deborah Rennard, Danforth Comins, Vincent Banks, Gary Brunner, Evan Daigle dan Christina Urias.
Shivaan Makker mengarahkan filem ini berdasarkan skrip tulisan Sullivan McGuffin.
Thriller Psikologi Dengan Unsur Keagamaan
Menurut Makker, Hate Thyself bukan sekadar sebuah cerita mengenai usaha memburu seorang pembunuh, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada kesan emosi dan spiritual yang perlu ditanggung oleh mereka yang berdepan dengan kejahatan.
“Filem ini meneroka apa yang berlaku apabila seseorang yang melihat dunia dalam warna hitam dan putih terpaksa berdepan dengan kawasan kelabu dalam sifat manusia,” kata Makker.
“Kami mahu menceritakan kisah yang bukan sekadar mengenai menangkap seorang pembunuh, tetapi turut mengenai kesan emosi dan spiritual yang ditinggalkan oleh kejahatan terhadap mereka yang mendedikasikan hidup untuk melawannya.”
Sementara itu, David Josh Lawrence daripada bahagian pemerolehan Studio Dome menyifatkan filem tersebut sebagai sebuah thriller psikologi yang melangkaui formula cerita penyiasatan jenayah konvensional.
“Shivaan telah menghasilkan sebuah thriller psikologi yang mendebarkan dan jauh melangkaui cerita penyiasatan jenayah tradisional,” katanya.
“Hate Thyself ialah sebuah filem intensif dan penuh persoalan yang mencabar penonton sambil menawarkan suspens yang sebenar.”
Dengan premis yang menggabungkan penyiasatan jenayah, psikologi, kepercayaan agama dan sisi gelap sifat manusia, Hate Thyself dijangka menawarkan pengalaman thriller yang lebih berat dan berunsur psikologi.
Filem tersebut akan memasuki platform digital pada 1 September 2026.
