
The Mask merupakan salah satu filem komedi ikonik ditayangkan pada era-90an. Namun, tidak ramai mengetahui bahawa filem lakonan Jim Carry itu pada asalnya dirancang sebagai sebuah filem seram yang jauh lebih gelap dan ganas, sebelum diubah menjadi komedi mesra keluarga.
Filem arahan Chuck Russell itu diadaptasi daripada siri komik terbitan Dark Horse Comics, yang terkenal dengan jalan cerita penuh keganasan, unsur seram dan dark humor.
Menariknya, studio New Line Cinema pada ketika itu dilaporkan bercadang menjadikan The Mask sebagai francais seram baharu yang mampu mengisi kekosongan selepas kejayaan watak ikonik Freddy Krueger.
Dalam satu temu bual pada 2017, Russell mendedahkan bahawa beliau terpaksa berjuang mempertahankan visinya untuk menukar projek tersebut daripada filem seram kepada komedi.
Menurutnya, versi asal komik memaparkan seorang individu yang memakai topeng misteri sebelum bertukar menjadi pembunuh kejam yang gemar melontarkan dialog sinis, sekali gus mengingatkannya kepada Freddy Krueger.
Russell menjelaskan bahawa walaupun komik asal mempunyai konsep yang menarik dengan gaya “splatterpunk” hitam putih yang sangat ganas dan menyeramkan, beliau berasakan jika ia diterjemahkan terus ke layar perak, hasilnya akan terlalu menyerupai francais A Nightmare on Elm Street.
Ironinya, selepas kejayaan filem lakonan Jim Carrey itu, siri komik The Mask kemudiannya turut diolah agar lebih hampir dengan versi komedi yang dipopularkan oleh filem tersebut.

Pengarah Evil Dead Burn Mahu Hasilkan Versi Seram The Mask
Kini, lebih tiga dekad selepas filem itu ditayangkan, idea untuk mengembalikan The Mask dalam versi lebih gelap kembali menjadi perhatian.
Pengarah Perancis, Sébastien Vaniček, yang baru sahaja mengarahkan filem seram Evil Dead Burn, menyatakan minatnya untuk mengadaptasi semula The Mask dengan lebih menepati ciri-ciri naskhah komik asal.
Ketika sesi soal jawab di Reddit baru-baru ini, Vaniček ditanya mengenai francais yang ingin diarahkan pada masa hadapan. Beliau menjawab bahawa The Mask merupakan antara harta intelek yang paling menarik minatnya.
Beliau berkata hasratnya adalah untuk menghasilkan adaptasi yang lebih dekat dengan versi komik kerana menurutnya, komik asal sebenarnya jauh lebih ganas, gelap dan menyeramkan berbanding filem yang pernah dibintangi Jim Carrey.
Buat masa ini, tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai projek baharu The Mask. Namun, dengan trend Hollywood yang semakin gemar menghasilkan semula karya klasik dalam nada lebih matang, tidak mustahil peminat akhirnya dapat menyaksikan versi seram sebenar yang lebih setia kepada sumber asalnya.
Sumber: Bloody Disgusting
