
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Sony Pictures dan Marvel Studios akhirnya melancarkan treler baharu untuk filem yang dinanti-nantikan ramai, Spider-Man: Brand New Day, yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 Julai 2026.
Walaupun seluruh dunia telah melupakan identiti Peter Parker, wira muda itu masih mengingati segala yang pernah berlaku. Situasi tersebut menjadi titik permulaan kepada babak baharu dalam kehidupan Peter apabila dia meneruskan perjuangannya sebagai Spider-Man sepenuh masa dalam dunia yang tidak lagi mengenalinya.
Dalam filem terbaharu ini, Peter berdepan cabaran emosi yang lebih berat apabila melihat rakan-rakan lamanya meneruskan kehidupan tanpa dirinya. Tekanan tersebut mencetuskan perubahan besar dalam dirinya – satu transformasi yang mungkin berada di luar kawalannya sendiri.
Namun, perubahan itu juga berpotensi menjadi satu-satunya harapan untuk menghentikan ancaman misteri yang mengancam bandar serta insan yang paling disayanginya. Lebih mengejutkan, musuh baharu yang bakal muncul kali ini memiliki kuasa luar biasa sehingga tidak dapat dilihat oleh sesiapa.
Spider-Man: Brand New Day diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, manakala skripnya ditulis oleh Chris McKenna, Erik Sommers dan Justin Kuritzkes. Filem ini diadaptasi daripada komik Marvel ciptaan legenda komik, Stan Lee dan Steve Ditko.
Barisan penerbit pula diketuai oleh Kevin Feige, bersama Amy Pascal, Avi Arad dan Rachel O’Connor, manakala Louis D’Esposito serta David Cain bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Dari segi pelakon, filem ini menyaksikan kembalinya Tom Holland sebagai Peter Parker/Spider-Man dan Zendaya, selain turut dibintangi oleh Sadie Sink, Jacob Batalon, Jon Bernthal, Tramell Tillman, Michael Mando dan Mark Ruffalo.
Dengan premis yang lebih gelap, konflik emosi yang mendalam serta kemunculan ancaman baharu yang penuh misteri, Spider-Man: Brand New Day dijangka menjadi antara filem superhero paling dinanti pada tahun 2026.
Treler rasmi filem ini kini boleh ditonton, manakala tayangan di pawagam seluruh negara bermula 30 Julai 2026.
