
Saya sebenarnya agak skeptikal terhadap filem-filem drama dari Indonesia. Bukan bermaksud filem drama dari negara seberang itu tidak bagus, tetapi saya bimbang tidak mampu menahan mata daripada terlelap kerana jalan ceritanya yang membosankan.
Namun, selepas diajak beberapa kali oleh seorang rakan, saya gagahkan juga kaki melangkah ke dewan tayangan untuk menonton filem arahan Hadrah Daeng Ratu, Jangan Buang Ibu.
Melihat pada sinopsisnya, filem ini tampil dengan premis yang agak ringkas dan straightforward, mengisahkan perjuangan seorang ibu membesarkan tiga orang anak selepas ditinggalkan suaminya.
Namun, apabila usianya semakin lanjut, dia akhirnya ditempatkan di sebuah pusat jagaan warga emas kerana tiada seorang pun daripada anak-anaknya yang sanggup menjaganya.

Berdasarkan premis tersebut, saya sudah boleh mengagak bahawa filem ini sarat dengan babak yang mengundang air mata dan drama menyayat hati, dengan tujuan membuatkan penonton berasa sebak atau, jika berjaya, mengalirkan air mata mereka.
Seperti yang dijangkakan, filem ini sememangnya penuh dengan drama. Dari permulaan hingga ke penghujung, penonton disajikan dengan pelbagai babak yang sarat dengan kesedihan.
Hanya secebis sahaja babak yang memberikan keceriaan dan kelegaan kepada penonton, manakala selebihnya dipenuhi dengan penyesalan si ibu yang sering mengungkapkan bahawa dia gagal membesarkan anak-anaknya dengan sempurna, serta trauma emosi si anak yang sentiasa berasa diri mereka hanya menyusahkan ibu.
Namun, apa yang dipaparkan dalam filem ini sememangnya menggambarkan realiti pahit yang terpaksa ditempuhi oleh seorang ibu tunggal yang membesarkan anak-anaknya sejak kecil selepas ditinggalkan suami yang ‘satu sen pun tidak guna’ tanpa sebarang khabar berita.

Walaupun saya sudah dapat mengagak bahawa Jangan Buang Ibu akan “menjual” babak-babak ‘air mata’, tanpa disedari, hati saya turut tersentuh melihat kesusahan si ibu membesarkan anak-anaknya, namun terpaksa memendam rindu yang tidak terhingga selepas ditempatkan di rumah jagaan warga emas.
Cuma, sedikit kekurangan filem ini terletak pada bahagian ketiga, apabila anak-anak terpaksa membuat keputusan untuk menempatkan ibu mereka di pusat jagaan warga emas.
Bagi saya, konflik tersebut tidak dibina dengan cukup kuat untuk menghasilkan sebuah babak yang benar-benar menyentuh emosi apabila filem menghampiri penghujungnya.
Secara jujurnya, saya menyukai gaya penceritaan Hadrah yang memaparkan kisah setiap anak melalui kaca mata si ibu. Pendekatan ini secara tidak langsung menjadikan jalan cerita lebih padat tanpa perlu meleret, dan dalam masa yang sama membolehkan penonton memahami karakter setiap anak.
Dari segi lakonan, Nirina Zubir membawakan watak si ibu dengan sangat baik. Namun, saya merasakan Amanda Manopo merupakan pemangkin yang menggerakkan perjalanan cerita filem ini. Tanpa kehadiran wataknya, filem ini mungkin hanya akan bergantung kepada kisah air mata semata-mata.
Alasan saya mudah, watak yang dibawakan Amanda merupakan gambaran tipikal seorang anak pertengahan dan juga anak perempuan. Dalam masa yang sama, dia banyak membantu menggerakkan cerita menerusi perwatakannya yang penuh dengan pelbagai emosi dan sentiasa mencuba menenangkan hati ibunya.

Ada satu perkara yang sedikit mengganggu saya tentang filem ini, iaitu solekan Nirina ketika membawakan peranan sebagai warga emas.
Saya kurang memahami keputusan pasukan solekan kerana penampilan wajah Nirina pada usia tua kelihatan terlalu berlebihan sehingga mengganggu pengalaman menonton. Solekan tersebut terasa kurang realistik, seperti melihat Nirina memakai topeng.
Secara keseluruhannya, Jangan Buang Ibubukanlah sebuah filem yang sempurna dari segi penceritaan. Namun, ia masih mampu menyampaikan mesej dan meninggalkan kesan kepada penonton, terutamanya tentang menjaga hubungan kekeluargaan.
Filem ini seolah-olah mengingatkan kita agar sentiasa menghargai, mengingati dan menjenguk ibu bapa kita, kerana seorang ibu jarang meminta sesuatu daripada anak-anaknya. Namun, jauh di lubuk hati, dia sentiasa menanti kepulangan mereka.
Ada satu dialog yang masih terngiang-ngiang di telinga saya. “Satu ibu boleh menjaga ramai anak, tetapi anak ramai belum tentu mahu menjaga satu ibu…”
