Kakimuvee
Review Filem

Review Onslaught: 3 Askar Super Jadi Longlai Bila Bertemu Adria Arjona

Onslaugh Cover

Ibarat gabungan Universal Soldier dan Resident Evil, tetapi dengan gambaran horror yang jauh lebih mengerikan. Itulah sedikit gambaran yang boleh saya berikan mengenai filem terbaharu arahan Adam Wingard, Onslaught.

Filem aksi-horror daripada A24 ini baru sahaja memasuki pawagam minggu lalu dan sememangnya antara filem yang paling saya nantikan. Sebab utamanya, sudah tentu kerana ia menampilkan Adria Arjona, antara aktres kegemaran saya selepas melihat prestasinya dalam siri Andor. Pada masa yang sama, Onslaught turut diterbitkan oleh A24, sebuah studio yang saya anggap antara paling kreatif dan berani di Hollywood ketika ini.

Namun, jangan risau. Walaupun Onslaught menampilkan aktres dan studio kegemaran saya, saya akan cuba sedaya upaya memastikan ulasan ini kekal objektif, natural dan tidak dipengaruhi oleh rasa teruja saya terhadap kedua-duanya.

Bagi yang tidak tahu, Onslaught merupakan sebuah filem yang berkongsi universe dengan The Guest ciptaan Adam Wingard.

Kedua-dua filem mempunyai kaitan melalui dunia eksperimen ketenteraan dan program rahsia yang melibatkan super soldier, namun Onslaught bukanlah kesinambungan langsung kepada kisah The Guest atau watak-wataknya. Sebaliknya, ia membawa cerita baharu yang berlaku dalam dunia yang sama.

Plot Onslaught sebenarnya cukup ringkas. Ia mengisahkan tiga super soldier hasil eksperimen ketenteraan yang melarikan diri dari sebuah fasiliti rahsia sebelum mula membunuh sesiapa sahaja yang berada di laluan mereka. Keganasan itu akhirnya sampai ke sebuah kawasan perumahan trailer yang didiami Celeste, lakonan Adria Arjona, seorang bekas penembak tepat tentera yang terpaksa kembali menggunakan kemahiran lamanya demi melindungi anak perempuannya.

Adria Arjona dalam filem Onslaught

Apa yang paling menarik perhatian saya tentang Onslaught ialah konsepnya. Filem ini mengambil idea eksperimen ketenteraan yang dijalankan oleh seorang saintis berfahaman 'far-right', kemudian meletakkan seorang bekas tentera berdepan tiga super soldier yang bukan sahaja ganas, tetapi turut digambarkan dengan bentuk fizikal yang menggerunkan.

Ditambah dengan suasana yang gelap dan penuh tekanan, premis ini memang cukup untuk membuatkan saya tertanya-tanya sejauh mana Adam Wingard mampu membawa konsep tersebut.

Permulaan cerita sedikit membosankan dimana ia menunjukkan kehidupan peribadi Celeste. Bagaimanapun, plot tidak menunggu lama untuk masuk ke bahagian yang lebih menarik, iaitu ketika ceritanya mula beralih ke seorang saintis yang menunju ke lokasi rahsia dimana organisasinya sedang menjalankan eksperimen tentera.

Dengan lagu techno berbahasa Jerman sebagai latar, ditambah pula dengan saintis berbangsa Jerman yang mengetuai eksperimen tersebut, Onslaught sudah memberikan gambaran yang cukup mengganggu tentang apa yang sedang berlaku di dalam fasiliti berkenaan.

Saya sendiri terus teringat kepada beberapa permainan video bergenre First-Person Shooter yang sering menggunakan gambaran saintis Jerman dan eksperimen gila mereka sebagai sebahagian daripada elemen cerita. Ada sesuatu tentang gabungan muzik, suasana dan eksperimen gila tersebut yang memberikan Onslaught vibe yang sama, terutamanya apabila cerita mula memfokuskan kepada apa yang sebenarnya berlaku di dalam fasiliti berkenaan.

Saat paling mengerikan tiba apabila mereka mula menjalankan eksperimen lapangan. Pada ketika ini, elemen horror dalam Onslaught semakin terasa, terutamanya menerusi kemunculan tiga super soldier yang bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal luar biasa, tetapi masih mempunyai sedikit kesedaran dan kecerdasan walaupun tubuh mereka sudah tidak lagi menunjukkan sisi kemanusiaan.

Namun, di sinilah saya merasakan Onslaught mempunyai sedikit kekurangan. Walaupun filem ini dibina dengan suasana yang suram dan menyeramkan, saya sedikit kecewa kerana adegan gore dan slasher yang terasa agak berhati-hati.

Onslaught

Kenapa saya sebut slasher? Kerana tiga super soldier ini akhirnya lebih banyak menggunakan senjata tajam bersaiz besar untuk memburu dan membunuh mangsa, berbanding senjata api. Dengan konsep dan reka bentuk wataknya, saya sebenarnya menjangkakan filem ini akan pergi lebih jauh dari segi keganasan dan gore.

Adegan pembunuhan beramai-ramai misalnya, menjadi antara momen yang menunjukkan perubahan cara tiga super soldier ini memburu mangsa, daripada menggunakan senjata api kepada senjata tajam.

Namun, apabila sampai kepada bahagian yang sepatutnya paling ganas, Onslaught memilih untuk memaparkan adegan ganas secara lebih tersirat. Kamera seolah-olah sengaja mengelak daripada menunjukkan kesan serangan secara jelas, sebaliknya membiarkan bunyi dan reaksi watak membayangkan apa yang berlaku.

Seram? Ya, adegan sebegini masih berjaya memberikan tahap kengerian yang memuaskan. Tetapi dari sudut keganasan dan gore, saya merasakan Onslaught sebenarnya boleh pergi lebih jauh. Dengan konsep dan karakter super soldier yang dibina sebegitu ganas, saya cuma berharap filem ini memberikan lebih banyak ruang kepada kesan fizikal daripada setiap serangan mereka.

Bahagian ketiga filem ini sedikit tersasar daripada jangkaan saya. Saya menjangkakan apabila watak utama akhirnya berdepan dengan tiga antagonis ini, segala aksi akan menjadi lebih intense.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Walaupun masih menampilkan elemen keganasan, terutamanya ketika tiga super soldier ini mula menyerbu setiap rumah kontena, tempo filem secara tiba-tiba bergerak dengan lebih perlahan.

Mungkin Adam Wingard sengaja memilih untuk membina suspense berbanding menyajikan aksi secara terus dan lebih mendebarkan.

Adria Arjona dalam Onslaught

Saya akui, pendekatan tersebut memang menjadi. Wingard berjaya membina suasana tegang ketika Celeste berhadapan dengan tiga askar yang menggerunkan ini, malah terdapat beberapa babak yang benar-benar berjaya membangkitkan debaran.

Cuma, saya masih tidak begitu puas dengan aksi antara Celeste dan ketiga-tiga antagonis tersebut. Pertembungan mereka terasa begitu terhad dan akhirnya diselesaikan dalam tempoh yang sangat singkat, sedangkan sepanjang filem, kita sentiasa diberikan gambaran bahawa tiga super soldier ini bukanlah lawan yang mudah untuk ditewaskan.

Disebabkan itu, konfrontasi yang sepatutnya menjadi kemuncak utama filem terasa sedikit antiklimaks bagi saya.

Walaupun bahagian akhir filem terasa sedikit kurang memuaskan, saya masih berpuas hati dengan Onslaught secara keseluruhannya.

Plotnya mungkin ringkas, tetapi jalan cerita yang dibawa bagi saya cukup padat dan tidak terasa seperti cuba memanjangkan cerita tanpa sebab. Lebih-lebih lagi apabila filem ini banyak memfokuskan kepada pertembungan yang tidak dijangka antara protagonis dan antagonis.

Agak sayang juga kerana saya tidak dapat melihat watak Adria Arjona menjadi lebih badass seperti yang saya harapkan. Apapun, melihat Celeste berdepan secara head-to-head dengan final boss masih memberikan kepuasan tersendiri.

Ditambah pula dengan penggunaan babak slow-motion yang mengingatkan saya kepada gaya Zack Snyder, adegan tersebut bukan sahaja mengerikan, tetapi turut memberikan kepuasan kepada saya kerana akhirnya saya dapat melihat salah satu adegan paling gore dalam filem ini.

RATING: 3.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Jangan Buang Ibu: Tidak Sempurna, Tetapi Berjaya Menyentuh Hati

Karim Khan

Review Insidious: Out of the Further – Seram Popcorn Yang Menghiburkan

Karim Khan

Review The Resident – Filem Seram Thailand Yang Langsung Tidak Menyeramkan

Karim Khan

Ulasan Filem Crime 101: Pertembungan Karismatik Hemsworth-Ruffalo dalam Atmosfera Noir yang Mendebarkan

Karim Khan

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Karim Khan

Review Heart of the Beast: Survival Brad Pitt Bersama Anjing K-9 Yang Penuh Emosi

Karim Khan

Leave a Comment