
Menjelang tayangan rasminya di pawagam pada 30 Julai ini, Sony Pictures dan Marvel Studios telah melancarkan treler akhir Spider-Man: Brand New Day, yang memperlihatkan lebih banyak aksi, konflik emosi serta ancaman baharu yang bakal dihadapi Peter Parker.
Treler tersebut memberi gambaran bahawa kehidupan Peter Parker kini berubah sepenuhnya selepas peristiwa Spider-Man: No Way Home.
Dalam dunia yang tidak lagi mengingati dirinya, Peter memilih untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Spider-Man sepenuh masa sambil berdepan kesunyian akibat kehilangan hubungan dengan insan yang pernah rapat dengannya.
Peter Parker Berdepan Cabaran Paling Sukar
Treler akhir ini turut memperlihatkan tekanan emosi yang semakin menghimpit Peter apabila melihat rakan-rakan lamanya meneruskan kehidupan tanpa mengenalinya.
Situasi itu akhirnya mencetuskan perubahan besar dalam dirinya, sesuatu yang mungkin sukar dikawal tetapi pada masa sama menjadi satu-satunya harapan untuk menentang ancaman baharu.
Lebih menarik, treler ini turut mengusik kemunculan seorang penjahat misteri yang memiliki keupayaan luar biasa sehingga sukar dikesan, sekali gus menjanjikan cabaran berbeza buat Spider-Man berbanding musuh-musuh yang pernah dihadapinya sebelum ini.
Walaupun seluruh dunia telah melupakan Peter Parker, dia masih tidak pernah melupakan mereka yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Destin Daniel Cretton Mengemudi Filem Terbaharu Spider-Man
Spider-Man: Brand New Day diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, dengan Chris McKenna, Erik Sommers dan Justin Kuritzkes bertanggungjawab menghasilkan skrip berdasarkan watak ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko.
Filem ini diterbitkan oleh Kevin Feige, Amy Pascal, Avi Arad dan Rachel O’Connor, manakala Louis D’Esposito serta David Cain bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Tom Holland kembali memegang watak Peter Parker, disertai Zendaya, Jacob Batalon, Michael Mando dan Mark Ruffalo. Filem ini turut dibintangi Sadie Sink, Jon Bernthal dan Tramell Tillman.
Spider-Man: Brand New Day akan mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 30 Julai ini.
