Kakimuvee
Berita

Penulis Sahkan Ready Player Two Masih Diteruskan

Gambar Ready Player One

Penantian peminat terhadap sekuel Ready Player One nampaknya masih belum berakhir apabila penulis skrip Zak Penn mengesahkan bahawa Ready Player Two masih lagi dalam fasa pembangunan.

Dalam temu bual bersama The Direct, Penn yang turut menulis skrip filem pertama pada 2018 berkata ringkas, “Saya sedang mengusahakannya,” sekali gus menjadi perkembangan paling signifikan mengenai projek tersebut dalam tempoh kira-kira dua tahun.

Ready Player One, arahan Steven Spielberg, mengisahkan Wade Watts lakonan Tye Sheridan yang berjaya mengambil alih kawalan dunia maya OASIS bersama rakan-rakannya selepas menewaskan cabaran yang ditinggalkan penciptanya, James Halliday. Pengakhiran filem itu sememangnya membuka ruang kepada sambungan cerita.

Sebelum ini, penulis novel asal, Ernest Cline, pernah mengesahkan Warner Bros. telah memulakan perbincangan untuk mengadaptasi novel Ready Player Two ke layar perak, namun proses tersebut tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Pada 2024 pula, Spielberg mengesahkan beliau akan kembali sebagai penerbit, tetapi bukan sebagai pengarah.

Walaupun masih belum mempunyai tarikh tayangan, pengumuman pelakon atau butiran lanjut mengenai produksi, penglibatan berterusan Zak Penn memberi petanda bahawa projek ini masih bergerak ke hadapan.

Novel Ready Player Two memperkenalkan teknologi baharu dikenali sebagai OASIS Neural Interface (ONI), yang membolehkan pengguna merasai pengalaman dunia maya secara penuh.

Tema seperti ketagihan teknologi dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi fokus utama, menjadikan sekuel ini lebih relevan dengan situasi semasa.

Dalam temu bual sama, Zak Penn turut mengakui beliau tidak mempunyai perkembangan terkini mengenai Free Guy 2.

Menurutnya, pengarah Shawn Levy dan bintang utama Ryan Reynolds tidak mahu tergesa-gesa menghasilkan sekuel kerana berpuas hati dengan filem pertama dan mahu memastikan sebarang kesinambungan benar-benar menawarkan sesuatu yang berbeza.

Sumber: The Direct

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Christopher Nolan akui berminat mengarah filem seram

Karim Khan

The Legend Of Zelda Jadi Filem Terakhir Sam Neill

Karim Khan

National Treasure 3 Bakal Jadi Kenyataan, Skrip Sudah Siap

Karim Khan

Jason Momoa Bintangi Filem Thriller Jenayah Baharu, Copperhead

Karim Khan

Spider-Man: Brand New Day Kekal No. 1, Insidious 6 Raih AS$60 Juta Global

Farah

Project Hail Mary Dinobatkan Filem Terbaik di Astra Midseason Awards 2026

Karim Khan

Leave a Comment