
Spaceballs: The New One menjadi antara pengumuman paling mencuri perhatian di San Diego Comic-Con (SDCC) 2026 apabila Amazon MGM Studios mempersembahkan panel khas yang sarat dengan unsur parodi, selari dengan identiti francais komedi ikonik ciptaan Mel Brooks.
Menurut Deadline, pembentangan di Hall H dimulakan dengan video pembukaan yang menyindir Marvel Cinematic Universe (MCU).
Paparan skrin gergasi memaparkan pelbagai “fasa” filem Spaceballs lengkap dengan beberapa projek fiksyen termasuk muzikal dan filem yang tidak mempunyai tarikh tayangan, sekali gus mengundang gelak tawa para hadirin.
Panel itu turut dimeriahkan dengan kemunculan mengejut Rick Moranis, yang kembali membawa watak Dark Helmet selepas sekian lama menyepi daripada dunia lakonan.
Beliau pada mulanya “bersembunyi” dalam kalangan penonton yang memakai topi keledar Dark Helmet sebelum identitinya didedahkan, sekali gus menerima tepukan gemuruh daripada peminat.

Josh Gad, yang bertindak sebagai penulis, penerbit dan pelakon filem itu, turut memberikan penghormatan kepada mendiang John Candy. Beliau menjelaskan bahawa watak baharunya bukanlah Barf, sebaliknya seorang “Mog” baharu, sambil menyifatkan filem ini sebagai penghargaan terhadap legasi pelakon komedi tersebut.
Mel Brooks, yang kini berusia 100 tahun, turut muncul menerusi rakaman video. Dengan gaya bersahaja, beliau bergurau kononnya tidak dapat menghadiri panel kerana sedang mencari kad Pokémon Charizard yang jarang ditemui.
Brooks turut mengucapkan terima kasih kepada para peminat sebelum mengesahkan beliau akan kembali sebagai Yogurt dalam sekuel ini.
Sementara itu, pengarah Josh Greenbaum berkata filem tersebut akan mengekalkan identiti komedi Mel Brooks yang mengutamakan jenaka tanpa mengira isu semasa. Rick Moranis pula menyifatkan filem Mel Brooks sentiasa mempunyai ruang untuk jenaka yang bijak mahupun yang benar-benar mengarut.
Turut dipertontonkan kepada hadirin ialah klip eksklusif baharu daripada filem itu. Bagaimanapun, treler tersebut tidak akan diterbitkan kepada umum buat masa ini.
Spaceballs: The New One dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 23 April 2027.
Sumber: Deadline
