
Selepas trailer kedua dilancarkan baru-baru ini, filem reboot Street Fighter kembali menjadi perhatian menerusi teaser baharu yang dikongsi di media sosial. Teaser tersebut turut menampilkan beberapa babak pertarungan yang sebelum ini belum diperlihatkan.
Filem ini mengisahkan Chun-Li yang cuba menyatukan semula dua sahabat lamanya, Ryu dan Ken Masters. Dengan mengetepikan persengketaan mereka, kedua-duanya perlu bekerjasama untuk menentang organisasi jenayah Shadaloo yang diketuai M. Bison.
Selain memperlihatkan lebih banyak aksi pertarungan Ryu menentang Blanka yang pernah muncul dalam klip terdahulu, teaser baharu ini turut memberi gambaran lebih jelas mengenai beberapa watak utama lain serta gaya pertarungan masing-masing.
Antaranya termasuk Guile dengan gerakan Flash-Kick, Chun-Li menerusi Spinning Bird Kick dan Ryu yang melepaskan serangan ikoniknya, Hadouken.
Dalam temu bual bersama Empire, pelakon yang membawa watak Chun-Li, Callina Liang, turut berkongsi mengenai latihan fizikal intensif yang dilaluinya untuk menjayakan watak tersebut. Liang mendedahkan dia menjalani latihan Taekwondo, Muay Thai dan Wushu selama dua jam setiap hari bagi membentuk fizikal serta gaya pertarungan Chun-Li.
Menurut Liang, perubahan fizikal itu turut melibatkan pemakanan yang lebih ketat ketika dia menjalani fasa menaikkan berat badan.
“Chun-Li banyak menggunakan tendangan. Jadi, kami melakukan banyak latihan Taekwondo, Muay Thai dan Wushu. Saya berlatih selama dua jam sehari, menguatkan kaki dan mengubah diet secara drastik. Ketika menaikkan berat badan, saya makan 12 biji telur sehari dan perlu makan setiap dua jam. Saya hampir muntah, tetapi ia berhasil. Menjelang penghujung penggambaran, ukuran paha saya meningkat sebanyak enam setengah sentimeter pada setiap bahagian,” katanya.
Liang turut mendedahkan bahawa dia menggunakan permainan Street Fighter sebagai bahan rujukan untuk memahami pergerakan Chun-Li dengan lebih baik.
“Saya memuat turun setiap versi Street Fighter ke PS5 dan merakam semua gerakan Chun-Li ketika bertarung menggunakan telefon dalam mod gerak perlahan. Kemudian saya menontonnya semula dan mengkaji setiap pergerakannya,” jelasnya.
Street Fighter diarahkan oleh Kitao Sakura, yang sebelum ini terlibat dengan The Eric Andre Show dan Twisted Metal. Sakura mengambil alih kerusi pengarah selepas pasangan pengarah Talk to Me, Danny dan Michael Philippou, meninggalkan projek tersebut.
Filem ini berlatar pada tahun 1993 dan menyaksikan Ryu serta Ken Masters kembali ke dunia pertarungan selepas lama membawa haluan masing-masing. Mereka direkrut oleh Chun-Li untuk menyertai World Warrior Tournament, namun kejohanan tersebut menyimpan satu konspirasi berbahaya yang akhirnya memaksa mereka berdepan antara satu sama lain serta konflik masa lalu.
Barisan pelakonnya turut menampilkan Noah Centineo sebagai Ken Masters, Andrew Koji sebagai Ryu, Callina Liang sebagai Chun-Li, Cody Rhodes sebagai Guile, Orville Peck sebagai Vega, Curtis “50 Cent” Jackson sebagai Balrog, Jason Momoa sebagai Blanka, Vidyut Jammwal sebagai Dhalsim dan Olivier Richters sebagai Zangief.
Turut membintangi filem ini ialah Hirooki Goto sebagai E. Honda, David Dastmalchian sebagai M. Bison, Joe “Roman Reigns” Anoa’i sebagai Akuma, Andrew Schulz sebagai Dan Hibiki, Eric André sebagai Don Sauvage, Mel Jarnson sebagai Cammy, Rayna Vallandingham sebagai Juli dan Alexander Volkanovski sebagai Joe.
Teaser baharu Street Fighter boleh ditonton menerusi media sosial rasmi filem tersebut, yang turut memperlihatkan koleksi Funko POP! berdasarkan watak-watak dalam filem.
Sumber: ComicBookMovie
