
Marvel akhirnya membuka tirai mengenai barisan pelakon untuk filem X-Men baharu menerusi acara D23, selepas beberapa bulan dipenuhi spekulasi, ujian lakonan dan rundingan kontrak.
Filem arahan Jake Schreier (Thunderbolts) itu akan menampilkan Sadie Sink sebagai Jean Grey, Kit Connor sebagai Cyclops, Christopher Abbott sebagai Professor X, Samara Weaving sebagai Emma Frost, Inde Navarrette sebagai Rogue dan Maya Boyd sebagai Storm.
Adam Driver turut menyertai barisan pelakon sebagai penjahat utama, Mr. Sinister.
Marvel turut menetapkan 5 Mei 2028 sebagai tarikh tayangan X-Men di pawagam.
Kesemua pelakon utama hadir di pentas D23 bersama Ketua Marvel Studios, Kevin Feige, manakala Driver membuat kemunculan menerusi rakaman video.
Menurut Driver, dia dan Feige sudah berbincang selama beberapa tahun mengenai kemungkinan untuk menyertai MCU.
“Kami telah menemui sesuatu yang sempurna dengan watak-watak yang sangat dekat dengan hati saya,” kata Driver.
Sebahagian daripada barisan pelakon tersebut sudah diketahui sebelum acara D23 berlangsung.
Sadie Sink menjadi antara pelakon terawal yang dikaitkan dengan projek ini, dengan kemunculan Jean Grey lakonannya dalam Spider-Man: Brand New Day pada bulan lalu.
Kit Connor sebelum ini dilaporkan akan membawa watak Cyclops, manakala Samara Weaving pula dilaporkan memegang watak Emma Frost.
Bagi pelakon lain, Inde Navarrette mula mendapat perhatian menerusi filem Obsession, manakala Maya Boyd berasal daripada dunia Broadway dan pernah membintangi & Juliet.
Christopher Abbott pula dikenali menerusi siri Girls serta pelbagai filem dan produksi pentas, termasuk Wolfman dan Death of a Salesman. Lakonannya dalam produksi Death of a Salesman turut memberikannya pencalonan di Tony Awards terbaharu.
X-Men Kembali Ke Dunia Marvel
Persoalan mengenai kemunculan X-Men dalam MCU menjadi antara perkara yang paling dinantikan peminat selepas Disney mengambil alih 20th Century Fox pada 2019.
X-Men diperkenalkan oleh Stan Lee dan Jack Kirby pada 1963. Professor X mengetuai barisan asal yang terdiri daripada Cyclops, Jean Grey, Beast, Angel dan Iceman dalam perjuangan menentang Magneto.
Watak-watak tersebut kemudiannya menjadi antara ikon terbesar dalam sejarah komik dan pop-culture.
Filem X-Men arahan Bryan Singer yang ditayangkan pada 2000 pula memainkan peranan penting dalam perkembangan era moden filem adiwira. Filem tersebut turut menjadikan Hugh Jackman sebagai bintang terkenal menerusi watak Wolverine.
Sebahagian pelakon daripada filem X-Men era 2000-an juga akan kembali dalam Avengers: Doomsday. Mereka termasuk Patrick Stewart sebagai Professor X, Ian McKellen sebagai Magneto, James Marsden sebagai Cyclops, Rebecca Romijn sebagai Mystique, Alan Cumming sebagai Nightcrawler dan Kelsey Grammer sebagai Beast.
Channing Tatum, yang memainkan watak mutan Gambit dalam Deadpool & Wolverine, turut menjadi sebahagian daripada barisan pelakon Avengers: Doomsday.
Sementara itu, francais tersebut melalui satu lagi perubahan pada era 2010-an dengan James McAvoy sebagai Professor X, Michael Fassbender sebagai Magneto, Jennifer Lawrence sebagai Mystique dan Nicholas Hoult sebagai Beast.
Kini, barisan X-Men baharu akan membawa watak-watak ikonik tersebut ke dalam MCU menerusi filem arahan Jake Schreier.
X-Men dijadualkan ditayangkan di pawagam pada 5 Mei 2028.
SUmber: The Hollywood Reporter
