Kakimuvee
Berita

Warner Bros. Discovery Saman Amazon, Dakwa Pujuk Eksekutif Tinggalkan Syarikat Sebelum Kontrak Tamat

Warner Bros. Discovery saman Amazon
Gambar: Deadline

Warner Bros. Discovery (WBD) dilaporkan telah memfailkan saman terhadap Amazon selepas mendakwa syarikat itu merekrut seorang eksekutif kanannya sebelum kontrak pekerjaan tamat.

Menurut laporan Variety, saman tersebut difailkan pada 21 Julai 2026 di Mahkamah Tinggi California, Daerah Los Angeles. Kes itu melibatkan Pia Barlow, bekas Naib Presiden Kanan Pemasaran HBO Max, yang dilaporkan menyertai Amazon.

Dalam dokumen saman itu, WBD mendakwa Amazon lebih gemar mengambil pekerja daripada syarikat hiburan yang sudah lama bertapak berbanding membangunkan tenaga kerjanya sendiri.

“Amazon memilih untuk menumpang kejayaan syarikat-syarikat Hollywood yang telah lama bertapak seperti plaintif, berbanding membina tenaga kerja produksi hiburannya sendiri dari awal,” menurut kenyataan yang dipetik dalam saman tersebut.

WBD turut mendakwa kontrak pekerjaan Barlow sepatutnya hanya berakhir pada 31 Oktober 2027. Namun, syarikat itu mendakwa Amazon mengetahui komitmen kontrak tersebut, tetapi tetap memujuk Barlow untuk meninggalkan WBD lebih 16 bulan lebih awal daripada tarikh tamat kontraknya.

Menurut saman itu lagi, Barlow pada asalnya menyatakan hasrat untuk kekal bersama syarikat sehingga kontraknya berakhir. Bagaimanapun, selepas menerima tawaran yang lebih lumayan daripada Amazon, beliau didakwa mengubah pendiriannya.

“Amazon menyedari bahawa kesetiaan Barlow boleh dibeli,” menurut dakwaan yang terkandung dalam dokumen saman berkenaan.

Selain itu, WBD turut mendakwa Amazon pernah cuba merekrut beberapa lagi kakitangannya sebelum ini dan percaya usaha tersebut akan berterusan pada masa hadapan. Malah, saman itu mendakwa terdapat sekurang-kurangnya satu cubaan terdahulu yang gagal melibatkan seorang lagi eksekutif syarikat.

Antara dakwaan yang dikemukakan oleh WBD termasuk campur tangan secara sengaja terhadap hubungan kontrak, menggalakkan pelanggaran kontrak pekerjaan, campur tangan terhadap kelebihan ekonomi masa hadapan serta persaingan tidak adil yang didakwa melanggar undang-undang negeri California.

Menurut laporan itu, Barlow memaklumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 26 Mei sebelum menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi pada 5 Jun.

Sehingga kini, Amazon MGM Studios masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung saman yang difailkan terhadap syarikat itu.

Sumber: ComingSoon

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Toy Story 5 Raih Lebih AS$1 Bilion, Jadi Filem Terlaris 2026

Karim Khan

Tom Holland Atasi Zoe Saldaña, Kini Pelakon Dengan Kutipan Tertinggi Sepanjang Zaman

Karim Khan

Sylvester Stallone Anggap Fizikal Pelakon Superhero Sukar Dicapai Secara Natural

Karim Khan

Jared Leto Berdepan Dakwaan Salah Laku, 10 Wanita Tampil Dalam Dokumentari BBC

Karim Khan

Josh Brolin Beri Perkembangan Positif Mengenai Sicario 3

Karim Khan

Michelle Yeoh Bakal Terima Bintang ‘Hollywood Walk of Fame’ Rabu Depan

Karim Khan

Leave a Comment