
Kejayaan The Odyssey dan Spider-Man: Brand New Day menjadikan 2026 antara tahun paling besar dalam karier Tom Holland. Dua filem tersebut bukan sahaja mencatat kutipan box office yang kukuh, malah membantu pelakon berusia 30 tahun itu mencipta rekod baharu dalam sejarah Hollywood.
Holland kini dilaporkan menjadi pelakon dengan jumlah kutipan box office global tertinggi sepanjang zaman, dengan kutipan keseluruhan filem lakonannya kini telah mencecah kira-kira AS$15.5 bilion.
Pencapaian itu turut menyaksikan Holland mengatasi dua bekas bintang Marvel, Zoe Saldaña dan Scarlett Johansson, yang sebelum ini menduduki tempat teratas dalam senarai tersebut.
Saldaña kini berada di tempat kedua dengan sekitar AS$15.47 bilion, manakala Johansson di tempat ketiga dengan kira-kira AS$15.4 bilion.
Spider-Man: Brand New Day bantu melonjakkan rekod Holland
Antara faktor utama di sebalik pencapaian tersebut ialah kejayaan Spider-Man: Brand New Day, filem keempat yang menampilkan Holland sebagai Peter Parker.
Filem arahan Destin Daniel Cretton itu turut dibintangi Zendaya, Sadie Sink dan Mark Ruffalo. Kutipan di Amerika Utara telah melepasi AS$900 juta dan filem tersebut masih meneruskan tayangannya di beberapa pasaran antarabangsa.
Pada masa sama, Holland turut muncul dalam The Odyssey arahan Christopher Nolan. Dua filem berskala besar itu yang ditayangkan berturut-turut menjadikan Holland antara bintang utama box office tahun ini.
Menariknya, ketiga-tiga pelakon dalam kelompok teratas itu masih berpeluang menambah jumlah kutipan masing-masing.
Saldaña masih mempunyai beberapa filem Avatar yang akan datang, manakala Johansson pula mempunyai penglibatan dalam francais The Batman dan The Exorcist. Kutipan The Odyssey dan Spider-Man: Brand New Day juga masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Selain pencapaian box office, Holland turut dilaporkan menerima bayaran sekitar AS$20 juta untuk Spider-Man: Brand New Day, termasuk bonus berdasarkan prestasi kutipan filem tersebut. Jumlah pendapatannya daripada projek berkenaan dikatakan boleh melebihi AS$100 juta selepas mengambil kira bahagian bonus dan keuntungan.
Selepas dua filem besar pada 2026, Holland akan meneruskan kariernya dengan beberapa projek baharu yang cukup berbeza daripada watak Peter Parker.
Dia bakal membintangi filem biografi mengenai legenda tarian Hollywood, Fred Astaire, arahan Paul King. Holland juga sudah memulakan persiapan untuk membawa watak tersebut ke layar lebar.
Selain itu, dia turut akan muncul dalam drama perundangan The Partner, yang diadaptasi daripada novel karya John Grisham.
Sudah tentu, pengembaraan Holland sebagai Spider-Man juga masih belum berakhir. Pelakon itu dijangka kembali sebagai Peter Parker untuk filem Spider-Man kelima, yang berkemungkinan sekali lagi diarahkan oleh Destin Daniel Cretton.
Holland turut berpotensi muncul dalam Avengers: Secret Wars, filem Marvel yang dijadualkan untuk tayangan pada 2027.
