
Marvel Studios terus mencuri perhatian peminat di San Diego Comic-Con (SDCC) menerusi pelbagai pengumuman besar, termasuk pendedahan rakaman baharu Avengers: Doomsday yang memperlihatkan kemunculan rasmi Sentinel dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).
Kehadiran robot pemburu mutan ikonik itu menjadi antara kejutan terbesar acara tersebut dan memberi bayangan bahawa konflik dalam filem ini bakal menjadi lebih besar daripada sekadar pertembungan antara Avengers dan X-Men.
Rakaman eksklusif yang ditayangkan di Hall H memperlihatkan Doctor Doom lakonan Robert Downey Jr. mengetuai sebuah tentera Sentinel untuk menyerang wira-wira MCU.
Dalam salah satu babak yang paling mencuri perhatian, Doom meletakkan tangannya ke tanah sebelum puluhan Sentinel gergasi muncul dan bangkit untuk menyerang Thor serta beberapa adiwira lain.
Kemunculan mereka mengesahkan bahawa Sentinel bakal memainkan peranan penting sebagai antara ancaman utama dalam filem tersebut.
Simbol Ikonik Dunia X-Men
Bagi peminat X-Men, Sentinel bukan sekadar robot gergasi.
Dalam komik, Sentinel dicipta untuk memburu dan memusnahkan mutan, sekali gus menjadi simbol ketakutan manusia terhadap golongan mutan serta diskriminasi yang menjadi tema utama siri X-Men.
Sebelum ini, Sentinel pernah muncul dalam filem X-Men: Days of Future Past (2014) terbitan 20th Century Fox. Namun, Avengers: Doomsday menjadi penampilan rasmi pertama mereka dalam MCU.
Marvel sebelum ini telah mengesahkan beberapa pelakon asal francais X-Men akan kembali dalam Avengers: Doomsday.
Antara yang hadir di pentas SDCC ialah James Marsden (Cyclops), Rebecca Romijn (Mystique) dan Kelsey Grammer (Beast), sekali gus mengukuhkan lagi penglibatan mereka dalam filem crossover berskala besar itu.
Trailer pertama Avengers: Doomsday sebelum ini memperlihatkan Avengers dan Thunderbolts bertempur dengan X-Men.
Namun, kemunculan Sentinel memberi petunjuk bahawa permusuhan itu mungkin tidak berpanjangan apabila kedua-dua pihak menyedari Doctor Doom sebenarnya mengawal salah satu musuh terbesar dalam sejarah X-Men.
Berbeza dengan versi komik yang lazimnya menyaksikan Sentinel dikawal oleh kerajaan sebagai senjata anti-mutan, versi MCU dilihat meletakkan robot-robot itu sepenuhnya di bawah arahan Doctor Doom.
Ini menjadikan Sentinel sebagai senjata utama Doom dalam usahanya menentang Avengers, Fantastic Four dan X-Men secara serentak.
Avengers: Doomsday dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 18 Disember.
Sumber: Den of Geek
