
Filem terbaru Marvel dan Sony, Spider-Man: Brand New Day, memulakan tayangan dengan prestasi luar biasa apabila mencatat kutipan AS$72 juta (kira-kira RM305 juta) menerusi tayangan pratonton, termasuk sesi tayangan awal pada hari Rabu, lapor Variety.
Angka itu sekali gus menjadi kutipan pratonton tertinggi dalam sejarah pawagam, mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang oleh Avengers: Endgame dengan kutipan AS$60 juta. Endgame sebelum ini turut mencipta sejarah apabila meraih kutipan hujung minggu pembukaan domestik terbesar sepanjang zaman sebanyak AS$357 juta dan AS$1.2 bilion di seluruh dunia.
Berdasarkan unjuran semasa, Spider-Man: Brand New Day dijangka mengutip antara AS$260 juta hingga AS$280 juta pada hujung minggu pembukaannya di Amerika Utara. Jika sasaran itu tercapai, ia akan menjadi pembukaan kedua terbesar dalam sejarah, hanya di belakang Avengers: Endgame dan mengatasi Spider-Man: No Way Home.
Walaupun terdapat beberapa unjuran yang meletakkan kutipan pembukaan melebihi AS$300 juta, Sony dilaporkan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan anggaran rasmi sekitar AS$190 juta hingga AS$195 juta.
Sehingga kini, hanya sembilan filem pernah mencatat kutipan pembukaan melebihi AS$200 juta di Amerika Utara. Selain Endgame, senarai itu termasuk Spider-Man: No Way Home, Avengers: Infinity War, Star Wars: The Force Awakens, Star Wars: The Last Jedi, Deadpool & Wolverine, Jurassic World, The Avengers dan Black Panther.
Di peringkat antarabangsa pula, Brand New Day dianggarkan mampu mengutip antara AS$275 juta hingga AS$300 juta. Namun, prestasi sebenar dijangka boleh melepasi jangkaan berdasarkan sambutan awal yang sangat positif.
Sebagai perbandingan, Spider-Man: No Way Home yang menampilkan kemunculan semula Tobey Maguire dan Andrew Garfield berjaya meraih AS$327 juta di peringkat antarabangsa serta AS$587 juta di seluruh dunia pada hujung minggu pertamanya, menjadikannya pembukaan global ketiga terbesar dalam sejarah.
Spider-Man: Brand New Day berlatar empat tahun selepas peristiwa No Way Home, apabila seluruh dunia telah melupakan identiti Peter Parker sebagai Spider-Man. Peter kini hidup bersendirian tanpa MJ (Zendaya) dan Ned (Jacob Batalon), sebelum berdepan ancaman baharu yang dilakonkan oleh Sadie Sink.
Menariknya, Tom Holland dan Zendaya yang baru sahaja berkahwin turut muncul bersama dalam filem The Odyssey pada bulan ini. Kini, pasangan itu dilihat berpotensi mencipta satu lagi sejarah menerusi kejayaan Spider-Man: Brand New Day.
