
Peminat francais Power Rangers bakal menyaksikan kemunculan terakhir mendiang Jason David Frank di layar perak menerusi filem Legend of the White Dragon, yang baru sahaja melancarkan treler rasmi menjelang tayangan filem tersebut di pawagam.
Jason David Frank, yang terkenal sebagai watak Tommy Oliver dalam siri asal Mighty Morphin Power Rangers, meninggal dunia pada 19 November 2022 pada usia 49 tahun. Pemergiannya memberi kesan mendalam kepada jutaan peminat di seluruh dunia, memandangkan beliau dianggap sebagai wajah paling ikonik dalam sejarah francais tersebut.
Sebagai Tommy Oliver, Frank mula diperkenalkan sebagai Green Ranger yang menjadi musuh kepada Power Rangers sebelum menyertai pasukan Zordon. Popularitinya kemudian melonjak apabila beliau mengambil identiti White Ranger, selain turut memegang beberapa gelaran Red Ranger dalam siri-siri berikutnya. Namun, kostum Green Ranger dan White Ranger kekal menjadi simbol paling diingati oleh peminat.
Sebelum pemergiannya, Frank telah mengumumkan hasrat untuk meninggalkan dunia Power Rangers dan tidak menyertai projek ulang tahun ke-30, Power Rangers: Once & Always. Sebaliknya, beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada beberapa projek baharu, termasuk Legend of the White Dragon, yang kini menjadi filem terakhir lakonannya.
Dalam filem ini, Frank membawakan watak Erik Reed, seorang bekas adiwira yang hidup sebagai pelarian selama tiga tahun. Apabila kuasa jahat mula mengancam bandar dan keluarganya, Erik terpaksa kembali menyarung identiti White Dragon demi mempertahankan mereka.
Treler terbaharu turut memperlihatkan elemen fantasi yang lebih besar apabila kisah ini berkisar tentang ramalan kuno yang menyatakan White Dragon akan bertempur dengan musuh utamanya, Dark Dragon.
Walaupun bukan sebahagian daripada francais rasmi Power Rangers, Legend of the White Dragon jelas mengambil inspirasi daripada siri popular itu. Rekaan sut White Dragon misalnya menggabungkan elemen Green Ranger dan White Ranger, sekali gus menjadi penghormatan kepada watak yang menjadikan Jason David Frank seorang legenda pop culture.

Filem ini turut menampilkan beberapa bekas bintang Power Rangers, termasuk Jason Faunt (Power Rangers Time Force), Cerina Vincent (Power Rangers Lost Galaxy) dan Ciara Hanna (Power Rangers Megaforce). Selain itu, ia juga merupakan penampilan terakhir pelakon Hollywood, Michael Madsen.
Proses penggambaran filem ini bermula pada tahun 2021 dan Jason David Frank sering berkongsi keterujaannya terhadap projek tersebut menerusi media sosial. Selepas pemergiannya, syarikat produksi bebas Bat in the Sun berjanji untuk menyiapkan filem ini sebagai penghormatan kepada legasi beliau.
Kini, selepas beberapa tahun dalam pembikinan dan dengan kerjasama pengedar Well Go USA Entertainment, Legend of the White Dragon akhirnya bersedia menemui penonton di pawagam AS pada 28 Ogos.
Bagi peminat setia Jason David Frank, filem ini bukan sekadar sebuah karya adiwira baharu, tetapi juga peluang terakhir untuk menyaksikan bakat seorang ikon yang telah membentuk sejarah Power Rangers selama lebih tiga dekad. Ia dijangka menjadi sebuah penghormatan yang penuh emosi kepada legasi pelakon yang tidak akan dilupakan.
