
Selepas bertahun-tahun berada dalam fasa pembangunan tanpa sebarang perkembangan jelas, pelakon Mahershala Ali akhirnya mengesahkan bahawa beliau tidak lagi akan membintangi filem Blade terbitan Marvel Studios.
Dalam temu bual bersama GQ (melalui THR), pemenang dua Anugerah Oscar itu berkata projek tersebut tidak akan diteruskan bersama beliau, malah memberi bayangan bahawa keputusan itu datang daripada pihak Marvel sendiri.
“Saya sudah hampir 30 tahun berada dalam industri ini. Apa yang memang ditakdirkan untuk saya akan menjadi milik saya, dan yang bukan, bukanlah. Atas apa juga sebab, projek itu bukan untuk saya. Jika mereka benar-benar mahu menghasilkan filem itu, kami pasti sudah melakukannya,”kata Ali.
Beliau turut menjelaskan bahawa dirinya masih terikat dengan kontrak dan Marvel mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk merealisasikan filem tersebut jika benar-benar mahu.
“Mereka mempunyai berbilion dolar. Jika mereka mahu buat filem itu, kami pasti sudah buat. Tetapi ia tidak berlaku. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berhenti menjawab soalan mengenai Blade. Soalan itu patut ditujukan kepada mereka.”
Kevin Feige Akui Kecewa Projek Gagal Direalisasikan
Kenyataan Ali hadir selepas Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, sebelum ini mengakui beliau amat kecewa kerana gagal membawa projek Blade ke layar perak.
Dalam podcast Happy Sad Confused, Feige berkata beliau berasa seperti seorang yang gagal kerana filem yang diumumkan sejak 2019 itu tidak pernah berjaya memasuki fasa produksi.
Blade diumumkan secara rasmi di San Diego Comic-Con 2019 dengan Mahershala Ali diumumkan sebagai watak utama. Namun, projek itu berdepan pelbagai masalah termasuk pertukaran pengarah, penulis skrip dan beberapa kali penangguhan jadual penggambaran.
Walaupun filem itu tidak menjadi kenyataan, Ali mendedahkan beliau telah menjalani latihan intensif selama lebih setahun bagi mempersiapkan diri untuk watak pemburu pontianak tersebut.
Bekas pengarah Blade, Bassam Tariq, turut memuji komitmen Ali sepanjang latihan.
Menurutnya, kemahiran Ali menggunakan pedang sangat mengagumkan sejak hari pertama latihan.
Ali berkata latihan itu akhirnya tidak sia-sia apabila beliau dapat memanfaatkan kemahiran tersebut dalam filem aksi baharunya, Your Mother Your Mother Your Mother, yang turut diarahkan oleh Tariq.
Walaupun filem solo Blade tidak menjadi kenyataan, versi Mahershala Ali sempat membuat kemunculan menerusi suara misteri dalam babak pasca kredit filem Eternals (2021).
Bagaimanapun, dalam Deadpool & Wolverine (2024), Marvel memilih membawa kembali Wesley Snipes sebagai Blade menerusi kemunculan khas yang mendapat sambutan hangat peminat.
Buat masa ini, Marvel Studios masih belum mengumumkan sebarang perancangan baharu mengenai filem Blade, sekali gus menjadikan masa depan watak tersebut dalam Marvel Cinematic Universe terus menjadi tanda tanya.
