
Bruce Campbell berharap filem-filem Evil Dead pada masa akan datang dapat mengembalikan unsur humor serta gaya visual yang lebih berwarna seperti yang pernah menjadi identiti utama francais tersebut.
Dalam tempoh 13 tahun kebelakangan ini, francais Evil Dead telah menghasilkan tiga filem, bermula dengan Evil Dead arahan Fede Álvarez pada 2013, diikuti Evil Dead Rise dan Evil Dead Burn.
Namun, pendekatan filem-filem terbaharu itu agak berbeza berbanding trilogi asal arahan Sam Raimi yang lebih menonjolkan gabungan seram dan komedi, khususnya menerusi Evil Dead II serta Army of Darkness.
Menurut Campbell, yang merupakan ikon francais dan turut terlibat sebagai penerbit, pendekatan tersebut wajar dipertimbangkan semula untuk filem-filem akan datang.
Dalam temu bual bersama Men’s Journal, Campbell secara terbuka mengakui bahawa dia mahu melihat lebih banyak humor dalam dunia Evil Dead.
Menurutnya, tiga filem terbaharu francais tersebut terlalu serius dan kurang memberikan ruang kepada unsur komedi yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada daya tarikannya.
“Saya mahu lebih banyak humor kembali. Tiga filem tersebut kebanyakannya kurang humor dan secara peribadi saya mempunyai masalah dengan perkara itu,” katanya.
Campbell turut menjelaskan bahawa filem seram tidak semestinya perlu terlalu suram untuk menjadi menakutkan.
“Tiada sebab untuk menjadikannya terlalu suram. Anda masih boleh menakutkan penonton tanpa perlu terlalu muram,” jelasnya.
Bagi Campbell, sedikit humor mampu memberikan keseimbangan kepada elemen seram, selain membantu menghasilkan watak utama yang lebih mudah disukai penonton.
“Sedikit humor tidak akan membunuh anda. Dan seorang wira yang benar-benar boleh anda sokong. Ash memang bodoh, tetapi anda mahu dia terus hidup,” katanya.
Kenyataan tersebut tentunya mengingatkan peminat kepada Ash Williams, watak yang dilakonkan Campbell dalam trilogi asal Evil Dead serta beberapa projek berkaitan francais tersebut.
Selain humor, Campbell turut berharap filem Evil Dead akan datang tidak terlalu bergantung kepada palet warna gelap dan kelabu yang sering digunakan dalam filem seram moden.
Campbell menyifatkan kecenderungan tersebut sebagai gaya visual yang menyerupai filem arahan David Fincher, dengan tona kelabu-hijau dan pencahayaan yang suram.
“Pembikin filem moden suka mewarnakan filem mereka seperti filem David Fincher, seperti bilik hospital. Kelabu-hijau, seperti garaj. Pencahayaan garaj,” katanya.
Walaupun mengakui ia merupakan pilihan kreatif pembikin filem, Campbell mempunyai pandangan berbeza tentang bagaimana filem seram sepatutnya kelihatan.
“Saya rasa filem seram juga boleh kelihatan cantik. Kenapa tidak mengejutkan mereka? Jadikan semuanya kelihatan indah dan menakjubkan, kemudian biarkan keganasan berlaku,” ujarnya.
Tonton video temubual Bruce Campbell dibawah:
Pendekatan tersebut dilihat selari dengan gaya Evil Dead era Sam Raimi yang sering menggabungkan visual yang lebih ekspresif dengan keganasan ekstrem dan humor gelap.
Walaupun Campbell kini mengambil peranan yang lebih kecil dalam pembangunan filem Evil Dead, khususnya bermula dengan Evil Dead Burn, dia masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap masa depan francais tersebut.
Salah satu projek yang dinantikan ialah Evil Dead Wrath, sebuah filem prekuel yang akan membawa kisah ke tahun 1972.
Filem tersebut dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam pada 7 April 2028 dan diarahkan oleh Francis Galluppi, yang sebelum ini menghasilkan The Last Stop in Yuma County.
Campbell ternyata mempunyai pandangan positif terhadap Galluppi selepas menonton filem sulung pengarah tersebut.
“Wrath akan menjadi bagus kerana saya pernah menonton filem pertama pembikin filem itu, dan ia sangat menarik, bijak serta dirancang dengan begitu baik,” kata Campbell.
Menurutnya, keyakinan terhadap kemampuan pengarah merupakan salah satu faktor penting dalam menghasilkan filem yang baik.
“Itu separuh daripada perjuangan,” tambahnya.
Campbell bagaimanapun mengakui bahawa masih terlalu awal untuk mengetahui bagaimana hala tuju francais Evil Dead selepas ini.
“Kita akan lihat apa yang berlaku selepas ini, tetapi saya mempunyai harapan tinggi untuk filem seterusnya,” katanya.
Dengan Evil Dead Wrath kini menjadi projek utama francais tersebut, peminat akhirnya akan dapat melihat sama ada filem baharu itu membawa pendekatan berbeza seperti yang diharapkan Campbell.
Persoalannya, adakah Evil Dead akan kembali kepada gabungan seram, humor dan visual yang lebih berwarna seperti era Sam Raimi, atau terus mengekalkan pendekatan lebih gelap yang diperkenalkan menerusi filem-filem moden?
Sumber: Bloody Disgusting, Men’s Journal.
