
Seperti biasa dan boleh dijangka, Andrian Teh menggunakan templat yang sama dalam filem-filem aksi arahannya. Adakah ia menarik? Ya, memang menarik. Menggunakan formula yang sama? Sudah tentu. Jadi, adakah Chelot sebuah filem aksi yang mediocre? Mungkin ya, mungkin tidak. Semuanya bergantung kepada anda yang menontonnya nanti.
Cuma apa yang boleh saya katakan, filem kali ini terasa lebih ‘adrenalin rush’, lebih mendebarkan, lebih persoalan dan lebih menggeramkan berbanding filem-filem aksinya yang terdahulu.
Mesti ramai yang tertanya-tanya, kenapa Adrian memilih nama Chelot? Judul yang tidak begitu komersial dan kedengaran agak lucu, bukan? Saya tahu sebabnya, tetapi biarlah anda sendiri yang mengetahuinya apabila menonton filem ini nanti.
Malah, saya juga akan mengelakkan sebarang spoiler dalam ulasan kali ini kerana saya rasa Chelot lebih baik ditonton dalam keadaan yang masih segar, tanpa sebarang ‘expectation’. Percayalah, itu yang anda perlukan sebelum melangkah masuk ke pawagam untuk menonton filem ini.
Ceritanya berkisarkan seorang inspektor polis yang terdesak dan terpaksa mengorbankan integritinya kerana desakan hidup. Namun, perbuatannya itu menyebabkan dia terjerat dengan sindiket jenayah berat, sekali gus menjerumuskannya ke dalam permainan maut yang membahayakan nyawanya dan orang di sekeliling.
Ada tiga nama besar yang menjadi daya penarik penonton untuk hadir ke pawagam bagi menonton filem ini. Beto Kusyairy, Shukri Yahaya dan Shaheizy Sam, tiga nama yang tidak begitu asing dalam kalangan peminat filem tempatan.

Tetapi, di antara tiga figura utama itu, mata saya lebih tertumpu kepada Shaheizy Sam yang memainkan watak ketua sindiket jenayah, Dato Bakri. Terus-terang saya katakan, saya bukan sahaja suka dengan karakter Dato Bakri, tetapi juga cara Shaheizy Sam menghidupkan watak tersebut di layar.
Shaheizy bukan sahaja tenang dalam membawakan watak Dato Bakri, malah dia mampu menjadikan sesuatu babak terasa sangat tegang hanya dengan menggunakan nada suara yang tenang tetapi psikotik. Saya katakan ‘psiko’ disebabkan kata-kata dan nada suaranya begitu manipulatif sehingga kita sebagai penonton turut terperangkap dengan apa yang dituturkannya.
Sementara itu, watak Inspektor Haqqim pula terasa seperti ‘watak-utama-acuan-biasa’ Adrian Teh dalam filem-filem aksinya terdahulu. Bezanya kali ini, Adrian telah memilih pelakon yang tepat untuk membawa peranan ‘dirty cop‘ Inspektor Haqqim. Sekurang-kurangnya, Shukri Yahaya berjaya menterjemahkan konflik dan dilema yang dihadapi wataknya dalam memilih untuk mengejar kesenangan hidup atau menjalankan tanggungjawab sebagai anggota polis.
Di awal filem, Beto Kusyairy mempamerkan ‘aura farming’ yang cukup kuat, seolah-olah membayangkan bahawa dia bakal menjadi antara ‘anchor” utama filem ini. Namun, peranannya semakin tenggelam di pertengahan cerita apabila hubungan dinamik antara Dato Bakri dan Inspektor Haqqim mula mengambil alih perhatian.

Perkembangan wataknya banyak bergantung kepada bahasa badan dan ekspresi wajah, manakala dialog yang dituturkannya agak terhad. Saya seolah-olah membayangkan Beto seperti Arnold Schwarzenegger dalam The Terminator, di mana setiap perkataan yang keluar dari mulutnya terasa seperti perlu dibayar.
Saya bukan hendak mengatakan lakonan Beto tidak bagus, cuma cara karakter ini ditulis masih boleh dipertikaikan. Saya faham mungkin Adrian mahu menjadikan watak Beto sebagai satu karakter yang misteri, tetapi misteri itu tidak bertahan lama apabila wataknya mula menjadi pasif dan kehilangan momentum sebaik sahaja filem memasuki ‘act’ kedua.
Dari segi jalan cerita, Chelot menampilkan naratif yang agak mendebarkan dan, seperti yang saya nyatakan di perenggan awal, cukup adrenalin rush. Filem ini gemar meninggalkan persoalan dan bermain dengan jangkaan penonton.
Setiap kali kita merasakan sudah dapat membaca hala tuju ceritanya, Chelot seolah-olah menarik ‘handbrake’, berpusing kearah lain dan memberikan jawapan yang berbeza daripada apa yang kita jangkakan. Kelicikan kuncu-kuncu Dato Bakri menjadikan perjalanan cerita ini menarik untuk diikuti sehingga ke penghujung, kerana kita sentiasa menantikan saat sindiket tersebut akhirnya tumbang di tangan anggota polis yang cuba menumpaskan mereka.
Ada satu prinsip Adrian Teh yang saya cukup suka: jika mahu memberikan aksi, berikan yang terbaik. Itu antara sebab saya gemar menonton filem arahannya, terutama apabila melibatkan aksi taktikal dan adegan tembak-menembak. Saya suka cara Adrian membina adegan aksi yang terasa agresif, pantas dan cukup untuk membuatkan penonton melekat pada tempat duduk.
Adegan aksi dalam Chelot sebenarnya mengingatkan saya kepada Heat. Saya tidaklah mengatakan aksi dalam filem ini setaraf dengan filem Hollywood tersebut, tetapi ‘vibe’-nya memang ada. Adrian dilihat tidak terlalu takut untuk menunjukkan akibat daripada keganasan yang berlaku, dan berikan momen-momen yang boleh dibualkan kepada penonton.

Elemen ‘collateral damage’, orang awam yang bertempiaran lari, cara watak-watak menggunakan senjata, malah situasi ketika watak kehabisan peluru menjadikan babak aksi dalam filem ini kelihatan lebih realistik. Cuma, saya merasakan penampilan antagonis yang terlalu taktikal sebenarnya boleh dipertikaikan.
Dengan skala sindiket Dato Bakri yang lebih menjurus kepada organisasi jenayah, penampilan mereka yang begitu terlatih dan taktikal kadangkala terasa sedikit tidak sepadan, melainkan cerita ini sebenarnya berpusat pada organisasi tentera upahan.
Apapun, adegan aksi dalam Chelot sememangnya layak dipuji kerana terasa lebih organik, terutama dengan penggunaan banyak kesan praktikal. Walaupun begitu, beberapa penggunaan CGI masih kelihatan kurang kemas dan sedikit mengganggu realisme visual filem ini.
Oh ya, tidak lupa juga teknik ‘one-shot take’ yang menjadi antara daya penarik filem ini. Bagi saya, ia merupakan satu usaha yang cukup baik untuk sebuah filem aksi tempatan. Walaupun tidak sehebat filem Hollywood, saya tetap menghargai keberanian Adrian untuk mencubanya. Sejujurnya, adegan ‘one-shot take’ dalam filem ini benar-benar membuatkan adrenalin saya melonjak.
Saya hadir untuk melihat sejauh mana Adrian menaik taraf karya aksi terbarunya, dan saya dapati beliau masih memberikan sebuah filem seperti yang saya harapkan. Formula yang sama? Sudah tentu. Aksinya menarik? Lebih menarik. Dan yang paling penting, ceritanya juga bergerak seiring dengan genrenya. Pelakon-pelakon berkaliber pula menjadi satu bonus.
Apa yang boleh saya simpulkan, Chelot sememangnya sebuah filem aksi popcorn yang mungkin membuatkan anda terlupa tentang popcorn di tangan sendiri.
Bukan kerana popcorn itu tidak sedap, tetapi kerana ceritanya cukup ‘sedap’ sehingga anda terlupa yang anda datang ke pawagam dengan sebungkus popcorn.
