
*Kemaskini 11:26pm @ 20 Ogos 2026
Masa depan James Gunn dan Peter Safran di DC Studios kini menjadi persoalan selepas laporan eksklusif mendakwa kontrak kedua-duanya tidak akan diperbaharui apabila tempoh perjanjian mereka berakhir.
Menurut Cosmic Book News, sumber dalaman mendakwa kontrak Gunn dan Safran kini berada dalam kelompok perjanjian Warner Bros. Discovery yang tidak akan disambung. Kedua-duanya dilaporkan mempunyai kontrak yang berjalan sehingga 2027.
Dakwaan ini tidak bermaksud Gunn dan Safran akan dipecat. Sebaliknya, mereka dikatakan akan meninggalkan DC Studios apabila kontrak masing-masing tamat tanpa pembaharuan.
Sumber yang dipetik laporan tersebut turut mendakwa situasi sama melibatkan sejumlah kakitangan Warner Bros. Discovery yang kontraknya tidak diperbaharui, dengan lebih ramai kakitangan dijangka meninggalkan syarikat dalam tempoh akan datang.
Man Of Tomorrow Mungkin Jadi Projek Terakhir Gunn Di DC
Jika dakwaan tersebut benar, Superman: Man of Tomorrow berpotensi menjadi projek terakhir Gunn sebagai peneraju DC Studios.
Filem yang ditulis dan diarahkan oleh Gunn itu dijadualkan ditayangkan pada 9 Julai 2027 dan akan menyaksikan Superman berdepan Brainiac, selain terpaksa bekerjasama dengan Lex Luthor.
Cosmic Book News mendakwa Man of Tomorrow turut dibangunkan dengan sejumlah kemunculan watak dan elemen fan service, yang dikatakan boleh berfungsi sebagai penghormatan terakhir Gunn kepada peminat sebelum meninggalkan DC.
Selain itu juga, sumber laman tersebut mendakwa kenyataan perpisahan Gunn sudah pun disediakan lebih awal dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih belum disahkan oleh Warner Bros. Discovery, DC Studios, Gunn atau Safran.
Apa Kaitannya Dengan Paramount?
Spekulasi mengenai masa depan Gunn dan Safran muncul ketika Warner Bros. Discovery sedang berdepan proses pengambilalihan oleh Paramount Skydance.
Perjanjian tersebut masih melalui proses undang-undang dan belum selesai sepenuhnya. Perbicaraan antitrust berkaitan pengambilalihan itu dijadualkan bermula pada Mac 2027, menjadikan tempoh tersebut penting terhadap masa depan struktur Warner Bros. Discovery.
Namun, setakat ini, tiada pengesahan rasmi bahawa proses pengambilalihan tersebut mempunyai kaitan secara langsung dengan kontrak Gunn dan Safran.
Meskipun Paramount sebelum ini memberi jaminan bahawa beberapa eksekutif sedia ada akan dikekalkan dalam struktur baharu Warner Bros. Discovery, terdapat spekulasi bahawa James Gunn tetap akan meninggalkan DC Studiossekiranya proses pengambilalihan oleh Paramount Skydance selesai sepenuhnya.
Jika dakwaan terbaru ini benar, Gunn dan Safran tidak perlu “dipecat” untuk meninggalkan DC Studios. Kontrak mereka hanya perlu tamat tanpa pembaharuan.
Buat masa ini, peminat perlu menunggu perkembangan seterusnya untuk mengetahui sama ada kedua-duanya akan terus mengetuai DC Universe selepas tempoh kontrak mereka berakhir.
Sumber: Cosmic Book News
