
Selepas kejayaan adaptasi Backrooms, Hollywood kini bersedia membawa satu lagi fenomena internet ke layar perak apabila Warner Bros. berjaya memperoleh hak adaptasi filem Siren Head selepas memenangi persaingan dengan beberapa studio lain.
Siren Head merupakan karakter fiksyen yang dicipta oleh artis Trevor Henderson dan mula menjadi fenomena di media sosial serta komuniti seram dalam talian.
Makhluk mengerikan itu digambarkan sebagai pemangsa misteri bertubuh tinggi dan kurus, dengan dua siren menggantikan kepala yang mampu mengeluarkan bunyi-bunyi menyeramkan untuk memerangkap mangsanya.
Filem ini akan diarahkan oleh Brian Duffield, yang turut menulis skrip bersama Zach Cregger. Duffield sebelum ini dikenali menerusi filem seram sains fiksyen No One Will Save You dan bakal tampil dengan filem thriller Whalefall.

Sementara itu, Cregger terus menjadi antara nama paling hangat di Hollywood selepas kejayaan Weapons dan Barbarian, selain kini sedang mengendalikan reboot Resident Evil.
Adaptasi Siren Head merupakan sebahagian daripada usaha Hollywood untuk menarik lebih ramai penonton Generasi Z ke pawagam menerusi harta intelek (IP) yang popular di internet.
Sebelum ini, Backrooms yang bermula sebagai fenomena YouTube berjaya diadaptasi menjadi filem oleh A24, manakala Obsession, hasil ciptaan YouTuber Curry Barker, turut mencipta kejayaan dalam genre seram.
Kajian terkini juga menunjukkan bahawa Generasi Z kini menjadi kumpulan penonton paling konsisten mengunjungi pawagam, mengatasi golongan milenial, Generasi X dan Baby Boomers.
Trend ini mendorong studio-studio besar untuk terus melabur dalam adaptasi kandungan digital dan legenda urban yang sudah mempunyai peminat tersendiri.
Selain Brian Duffield dan Zach Cregger, penerbit filem ini terdiri daripada Roy Lee, Andrew Childs dan Scott Glassgold, manakala Trevor Henderson akan bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Setakat ini, Warner Bros. masih belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi untuk Siren Head.
sumber: Variety
Tonton salah satu filem pendek Siren Head dibawah:
