Peminat francais seram ikonik Friday the 13th akhirnya dapat melihat lebih dekat kisah di sebalik kelahiran legenda pembunuh bersiri Crystal Lake menerusi siri prekuel baharu, Crystal Lake.
Kesemua lapan episod Crystal Lake akan mula ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Peacock pada 15 Oktober 2026.
Menurut showrunner Brad Caleb Kane (IT: Welcome to Derry), siri ini bermula dengan tragedi yang mengorbankan Jason Voorhees sebelum memaparkan bagaimana Pamela Voorhees perlahan-lahan tenggelam dalam kegilaan akibat kehilangan anaknya.
“Semua orang dalam dunia ini hidup dalam genre yang berbeza dalam fikiran mereka sehingga mereka bertembung dengan dunia yang didiami Pam,” jelas Kane kepada Entertainment Weekly.
Walaupun mengetengahkan elemen drama psikologi, Kane menegaskan bahawa Crystal Lake kekal sebagai sebuah siri slasher sepenuhnya. Siri ini juga berlatarbelakangkan era 1970-an, sekali gus membawa penonton kembali ke permulaan kisah yang melahirkan salah satu ikon seram paling terkenal dalam sejarah filem.

Pelakon terkenal Linda Cardellini menggalas watak Pamela Voorhees, seorang ibu yang sanggup mengorbankan kerjaya nyanyiannya demi menjaga anak istimewanya, Jason. Namun, kehidupannya berubah menjadi mimpi ngeri selepas kehilangan Jason, sehingga mendorongnya ke jalan gelap yang akhirnya mencetuskan siri pembunuhan di Crystal Lake.
Sementara itu, Callum Vinson (Chucky) membawakan watak Jason Voorhees ketika zaman kanak-kanaknya. Siri ini akan mengupas asal-usul pembunuh bertopeng legenda yang menghantui kawasan Crystal Lake selama beberapa dekad.
Turut membintangi siri ini ialah William Catlett, Cameron Scoggins, Devin Kessler, Gwendolyn Sundstrom, Nick Cordileone, Joy Suprano, Danielle Kotch, Christopher Denham, Nancy Nagrant, dan Phoenix Parnevik.
Lapan episod siri ini diarahkan oleh Michael Lennox, Celine Held, Logan George, dan Quyen Tran.

Diterbitkan oleh A24 bersama Peacock, Crystal Lake turut mencipta sejarah sebagai projek rasmi pertama Friday the 13th sejak filem reboot terbitan Platinum Dunes yang ditayangkan pada tahun 2009.
Dengan fokus terhadap kisah asal-usul Pamela Voorhees dan Jason Voorhees, siri ini dijangka memberikan nafas baharu kepada francais seram klasik yang telah menjadi kegemaran peminat selama lebih empat dekad.


