
The Odyssey terus mencipta rekod baharu di box office apabila filem epik arahan Christopher Nolan itu kini secara rasmi menjadi filem berstatus ‘R-rated’ dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Berdasarkan kutipan global terkini, The Odyssey telah mengumpul AS$1.352 bilion (sekitar RM5.7 bilion) di seluruh dunia, sekali gus mengatasi rekod Deadpool & Wolverine yang mencatat kutipan AS$1.338 bilion pada 2024.
Filem arahan Nolan itu mula ditayangkan di pawagam pada 17 Julai dan membuka tirai dengan kutipan AS$123 juta di Amerika Utara. Sejak itu, The Odyssey terus mencatat prestasi kukuh dengan AS$516 juta kutipan daripada pasaran domestik dan AS$835 juta daripada pasaran antarabangsa.
IMAX Jadi Antara Pemacu Utama Kutipan
Format IMAX turut memainkan peranan penting dalam kejayaan box office The Odyssey. Tayangan IMAX sahaja telah menjana AS$354 juta di seluruh dunia.
The Odysseyjuga menjadi filem kelima pada tahun ini yang berjaya melepasi paras AS$1 bilion, selain menjadi filem rating R ketiga dalam sejarah yang mencapai pencapaian yang sama dengan Joker dan Deadpool & Wolverine.
Ryan Reynolds, yang merupakan antara individu penting di sebalik francais Deadpool, turut mengucapkan tahniah kepada barisan pelakon dan kru The Odyssey selepas filem itu berjaya memotong rekod kutipan filem Deadpool & Wolverine.
Filem Terbesar Dalam Kerjaya Christopher Nolan
The Odyssey turut mencipta rekod baharu buat Christopher Nolan apabila menjadi filem dengan kutipan tertinggi sepanjang kerjayanya.
Filem tersebut kini telah mengatasi The Dark Knight Rises (2012), yang mengumpul AS$1.08 bilion di seluruh dunia tanpa mengambil kira inflasi.
The Odyssey juga mencipta rekod baharu untuk IMAX apabila menjadi filem dengan kutipan tertinggi dalam sejarah format tersebut, mengatasi Avatar (2009) yang sebelum ini memegang rekod kutipan sebanyak AS$271 juta.
The Odyssey menampilkan Matt Damon sebagai Odysseus, raja Ithaca yang cuba kembali ke tanah air selepas berakhirnya Perang Trojan.
Filem ini mengisahkan perjalanan pulang Odysseus yang panjang dan penuh bahaya, dengan pelbagai cabaran menantinya sebelum dia dapat kembali kepada keluarganya.
Damon mengetuai barisan pelakon bertaraf bintang yang turut menampilkan Tom Holland, Anne Hathaway, Robert Pattinson, Lupita Nyong’o, Zendaya, Charlize Theron, Elliot Page, Jon Bernthal dan John Leguizamo.
Dengan kutipan global yang kini mencecah AS$1.352 bilion, The Odyssey bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kejayaan komersial terbesar tahun ini, malah turut mencipta sejarah baharu untuk filem berstatus R.
