
Filem sekuel Once Upon a Time in Hollywood arahan David Fincher kini mempunyai tajuk baharu, iaitu The Further Mis-Adventures of Cliff Booth.
Netflix mendedahkan tajuk tersebut pada Rabu, menggantikan tajuk asal The Adventures of Cliff Booth. Perubahan kecil pada tajuk itu dilihat lebih menyerlahkan nada komedi sinis yang dibawa oleh filem berkenaan, seperti yang pernah ditunjukkan menerusi teaser ringkas yang ditayangkan Netflix ketika Super Bowl pada Februari lalu.
Ditulis oleh Quentin Tarantino dan diarahkan oleh David Fincher, filem ini kembali mengikuti kisah Cliff Booth, watak yang dilakonkan Brad Pitt, lapan tahun selepas peristiwa dalam filem Once Upon a Time in Hollywood pada 2019.
Kali ini, Booth menetap di Los Angeles pada 1977 dan bekerja sebagai seorang ‘fixer’ untuk sebuah studio Hollywood. Selain Pitt, filem ini turut menampilkan Elizabeth Debicki, Scott Caan, Carla Gugino, Yahya Abdul-Mateen II, Peter Weller, Holt McCallany dan Timothy Olyphant.
Olyphant juga akan kembali membawa watak James Stacy, pelakon filem Barat yang pernah muncul dalam Once Upon a Time in Hollywood.
Penggambaran filem ini mengambil masa kira-kira tujuh bulan di Los Angeles sebelum selesai pada Januari lalu. Dengan bajet yang dilaporkan mencecah AS$200 juta, filem tersebut bakal menjadi projek paling mahal yang pernah ditulis atau diarahkan oleh Tarantino mahupun Fincher.
Netflix turut mengambil langkah yang agak jarang dilakukan dengan memberikan filem ini tayangan pawagam secara eksklusif terlebih dahulu. The Further Mis-Adventures of Cliff Booth akan ditayangkan di pawagam IMAX pada 25 November sebelum hadir ke Netflix pada 23 Disember.
Filem asal Once Upon a Time in Hollywood menerima sambutan hangat daripada pengkritik dan penonton. Brad Pitt juga memenangi Oscar pertamanya dan setakat ini satu-satunya Oscar lakonan menerusi watak Cliff Booth pada 2020.
Filem arahan Tarantino itu turut mencatat kejayaan komersial dengan kutipan lebih AS$393 juta di seluruh dunia, selain dianggap sebagai antara karya terbaik pengarah tersebut.
Kini, peminat perlu menantikan sama ada The Further Mis-Adventures of Cliff Booth mampu meneruskan legasi filem asal apabila ia ditayangkan di IMAX pada 25 November, diikuti penstriman di Netflix pada 23 Disember 2026.
Sumber: TheWrap
