
Sudah lama sebenarnya saya tidak menonton sebuah filem yang ringan, tetapi masih mampu memberikan pengalaman sinematik yang cukup kuat dari segi estetik. Setelah beberapa kali menangguhkan hasrat untuk menontonnya kerana terlebih dahulu memberikan fokus kepada filem lain, akhirnya saya berpeluang menyaksikan filem terbaru dari Indonesia, Operasi Pesta Copet.
Sebaik sahaja filem ini bermula, saya sudah dapat merasakan bahawa Operasi Pesta Copet mampu memberikan sesuatu yang berbeza dan berpotensi memuaskan hati saya sehingga ke penghujung.
Visualnya yang pantas mencuri perhatian, ditambah pula dengan pembukaan cerita yang memaparkan watak utama sedang ditemu bual oleh seorang wartawan dalam suasana lucu, menjadi petanda awal bahawa filem ini hadir dengan pendekatan yang lebih segar berbanding filem-filem Indonesia tipikal yang pernah saya tonton sebelum ini.
Saya sengaja menyentuh aspek visual terlebih dahulu kerana saya benar-benar tertarik dengan gaya sinematografi yang cukup kreatif sejak filem ini memulakan babak pembukaannya.
Pengarah sinematografi dilihat begitu menitikberatkan komposisi setiap gambar serta transisi antara babak, menjadikan keseluruhan persembahannya kelihatan kemas dan tersusun. Pendekatan visual sebegini turut membantu membentuk identiti visual filem yang tersendiri.
Terdapat beberapa babak yang memaparkan penggunaan kamera seolah-olah bergoyang, tetapi bagi saya, ia bukanlah sesuatu yang mengganggu.
Sebaliknya, teknik tersebut memberikan sentuhan realisme visual, khususnya ketika menggambarkan pergerakan watak yang sedang berjalan dari satu laluan menuju ke sesuatu tempat. Penggunaan kamera sebegini membuatkan babak tersebut terasa lebih dekat dan natural, seolah-olah penonton sedang mengikuti pergerakan watak itu secara langsung.

Ada dua perkara utama yang membuatkan saya benar-benar menyukai filem ini. Pertama, jalan ceritanya yang ringkas tetapi berkesan, dan kedua, semangat setiakawan yang terjalin antara empat watak utamanya. Gabungan kedua-dua elemen ini menjadikan Operasi Pesta Copet sebuah filem yang terasa begitu feel-good dan heartwarming.
Walaupun babak pembukaan filem ini sudah memberikan petunjuk tentang bagaimana operasi mereka akan berakhir, semakin plot berkembang dan misi mereka mula dijalankan, semakin kuat pula harapan saya agar cerita ini berakhir dengan cara yang berbeza.
Perkembangan plot dan hubungan antara keempat-empat watak utama membuatkan saya semakin mengambil berat terhadap perjalanan mereka, sehingga saya sendiri berharap agar nasib mereka berubah daripada apa yang sudah ditunjukkan sejak awal.
Interaksi antara watak juga sudah cukup membuatkan saya berasa dekat dengan mereka, lebih-lebih lagi apabila filem ini benar-benar menggambarkan kehidupan golongan kelas bawahan yang terpaksa melakukan jenayah kecil-kecilan demi meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah kota raya.
Dinamika dan konflik antara watak yang disampaikan secara ringkas dan tidak berlebihan, hubungan antara mereka yang bersahaja, ditambah pula dengan latar kawasan setinggan serta penampilan dan pakaian mereka yang cukup mencerminkan kehidupan rakyat marhaen, semuanya menjadi satu lagi faktor yang menguatkan sisi realistik filem ini

Operasi Pesta Copet bukan sekadar mementingkan kualiti visual dan jalan cerita, tetapi turut memaparkan sisi kehidupan masyarakat miskin di kawasan bandar dengan cara yang cukup sederhana.
Ada satu babak dalam filem ini yang saya suka, iaitu ketika mereka berborak dan menceritakan angan-angan masing-masing tentang kehidupan yang mungkin mereka miliki sekiranya misi ‘copet’ yang dirancang mereka berjaya. Bagi saya, babak ini turut membawa satu sisi realistik yang menarik – tentang segelintir masyarakat yang cuba keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi memilih jalan yang salah untuk mengubah nasib.
Apa yang menarik, elemen tersebut disampaikan secara santai melalui perbualan antara watak ketika mereka menikmati hidangan burger mahal buat pertama kali. Meskipun sekadar sebuah perbualan ringan, babak tersebut tetap memberikan gambaran yang jelas kepada saya sebagai penonton tentang kehidupan, impian dan keinginan mereka untuk merasai sesuatu yang selama ini berada di luar kemampuan.
Agak janggal sekiranya saya tidak mengulas tentang satu elemen penting dalam filem ini, iaitu aktiviti men‘copet’ atau lebih tepat lagi, elemen jenayah yang menjadi nadi kepada perjalanan ceritanya. Bagi saya, setiap kali mereka mula menjalankan aktiviti menyeluk saku, ketika itulah filem ini berjaya mencetuskan rasa debar dan membuatkan saya tertanya-tanya sama ada mereka akan berjaya melepaskan diri atau sebaliknya.
Di awal filem, penonton sudah diperlihatkan tentang akibat yang bakal mereka hadapi sekiranya ditangkap ketika melakukan jenayah tersebut. Walaupun babak tersebut disampaikan secara ringkas, ia cukup untuk memberikan sedikit gambaran tentang risiko yang mereka hadapi setiap kali menjalankan operasi.
Menariknya, elemen debaran itu turut disokong oleh muzik latar yang menggunakan lagu-lagu berunsur metal, alternatif dan punk Indonesia, sekali gus menghasilkan suasana yang rancak dan bertenaga. Pendek kata, Operasi Pesta Copet berjaya menggabungkan elemen thriller dengan muzik yang agresif dan menghiburkan, sehingga adegan mereka melakukan jenayah terasa lebih mengasyikkan untuk diikuti.
Dengan banyak perkara dan elemen yang saya ulas secara positif, secara jujurnya agak sukar untuk saya mencari kelemahan dalam filem ini. Sepanjang tontonan, saya tersenyum, ketawa, berasa debar dan turut tersentuh melihat persahabatan antara mereka.

Filem ini turut menyelitkan elemen komedi yang cukup menghiburkan. Masih ingat adegan pembukaan yang saya ceritakan sebelum ini, ketika watak utama sedang ditemu bual oleh seorang wartawan?
Ketika jalan cerita semakin berkembang, adegan temu bual memberikan satu momen komedi yang cukup menggelikan hati. Daripada hanya seorang wartawan dan jurukamera, semakin ramai orang mula berkumpul untuk mendengar kisah yang disampaikan oleh watak utama.
Bagi saya, perkembangan kecil dalam adegan tersebut menjadi antara momen yang paling mencuit hati kerana ia berlaku secara bersahaja tanpa perlu dipaksa untuk menjadi lucu. Pada masa yang sama, ia seolah-olah mencerminkan bagaimana kisah watak utama semakin mendapat perhatian, selari dengan perjalanan filem yang semakin rancak.
Secara keseluruhannya, Operasi Pesta Copet merupakan sebuah filem yang sangat saya nikmati. Banyak perkara yang saya suka, malah saya sendiri sanggup menunggu sehingga kredit tamat kerana tidak mahu terlepas apa-apa. Sukar untuk saya mencari cacat-cela yang benar-benar mengganggu pengalaman menonton saya.
Jadi, saya sangat menyarankan filem ini kepada anda, khususnya mereka yang menggemari filem yang santai, menghiburkan tetapi masih mempunyai nilai dan makna yang kuat. Dan tidak, saya tidak dibayar untuk memuji filem ini – saya cuma merasakan Operasi Pesta Copet layak menerima lebih ramai penonton.
RATING: 5/5
