
Filem sci-fi thriller Korea, Hope bakal menampilkan gandingan bintang Hollywood dan Korea Selatan.
Hasil tangan pengarah The Wailing, Na Hong-jin, filem ini dibintangi barisan pelakon antarabangsa seperti Michael Fassbender, Alicia Vikander dan Taylor Russell, bersama bintang Korea Selatan Hwang Jung-min, Zo In-sung serta Jung Ho-yeon.
Menariknya, filem ini turut menyatukan pasangan suami isteri Alicia Vikander dan Michael Fassbender buat pertama kali sejak mereka bergandingan dalam filem The Light Between Oceans yang ditayangkan pada 2016.
Filem ini turut dipertandingkan di Festival Filem Cannes, sekali gus menjadi filem Korea pertama yang bersaing merebut Palme d’Or sejak Decision to Leave (2022).
Hope juga menerima pujian kerana menggabungkan elemen seram, aksi dan fiksyen sains yang mendebarkan.

Sinopsis filem ini mengisahkan sebuah perkampungan terpencil berhampiran Zon Bebas Tentera (DMZ) yang digemparkan dengan kemunculan seekor harimau yang dipercayai berkeliaran di kawasan tersebut.
Namun, siasatan yang pada awalnya disangka sekadar insiden biasa akhirnya membawa penduduk kampung berdepan ancaman misteri yang jauh lebih mengerikan dan sukar dipercayai.
Hope dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh dunia bermula 9 September, namun tarikh tayangannya di Malaysia masih belum diumumkan.

