
Pada 30 Jun 2013, satu tragedi hitam menggemparkan Amerika Syarikat apabila 19 anggota bomba hutan elit di Arizona ditemui maut ketika menjalankan operasi memadamkan kebakaran hutan Yarnell Hill. Mereka merupakan sebahagian daripada Granite Mountain Interagency Hotshot Crew, sebuah pasukan pemadam kebakaran yang terlatih untuk berdepan dengan kebakaran hutan yang paling sukar.
Tragedi itu berlaku dengan begitu pantas sehingga laluan keluar mereka terputus dan dihalang oleh api yang marak. Akibatnya, kesemua 19 anggota tersebut terperangkap dalam kepungan api dan tidak sempat menyelamatkan diri.
Bagaimana Yarnell Hill Fire Bermula?
Yarnell Hill Fire bermula pada 28 Jun 2013 berhampiran komuniti Yarnell di Yavapai County, Arizona. Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada panahan petir yang menyambar kawasan tumbuh-tumbuhan kering.
Pada ketika itu, Arizona berada dalam keadaan yang sangat kering selepas menerima jumlah hujan yang sangat rendah daripada biasa. Tumbuh-tumbuhan di kawasan tersebut juga amat mudah terbakar, menjadikan keadaan lebih berbahaya apabila api mula merebak.
Pada awalnya, kebakaran itu belum menunjukkan tanda-tanda akan bertukar menjadi tragedi besar. Namun, keadaan cuaca berubah pada hari-hari berikutnya. Angin kuat dan tidak menentu yang terhasil daripada aliran keluar ribut petir menyebabkan api merebak dengan pantas.
Menjelang 30 Jun, keadaan Yarnell Hill Fire menjadi semakin sukar dikawal. Api bergerak dengan kelajuan yang luar biasa dan akhirnya menyebabkan tragedi yang meragut nyawa 19 anggota bomba.
Siapa Granite Mountain Hotshots?

Granite Mountain Hotshots merupakan pasukan pemadam kebakaran hutan elit yang berpangkalan di Prescott, Arizona. Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan Interagency Hotshot Crew, iaitu kumpulan yang menerima latihan khusus untuk memerangi kebakaran hutan di kawasan terpencil dan berbahaya.
Daripada 20 anggota Granite Mountain Hotshots yang bertugas ketika kejadian, 19 daripadanya maut.
Seorang lagi anggota, Brendan McDonough, terselamat kerana beliau telah ditugaskan sebagai lookout untuk memantau pergerakan api dari lokasi berasingan. Tugas tersebut secara tidak langsung menyebabkan beliau tidak berada bersama 19 anggota lain ketika tragedi berlaku.
Kesemua 19 mangsa kebakaran ialah Andrew Ashcraft, Robert Caldwell, Travis Carter, Dustin DeFord, Christopher MacKenzie, Eric Marsh, Grant McKee, Sean Misner, Scott Norris, Wade Parker, John Percin Jr., Anthony Rose, Jesse Steed, Joe Thurston, Travis Turbyfill, William “Billy” Warneke, Clayton Whitted, Kevin Woyjeck dan Garret Zuppiger.
Apa Yang Berlaku Pada 30 Jun?
Pada pagi 30 Jun, anggota Granite Mountain Hotshots berada di kawasan selatan Yarnell Hill Fire untuk menjalankan operasi pemadaman.
Melihat keadaan yang semakin sukar dikawal, pasukan tersebut meninggalkan kedudukan mereka dan bergerak menuju ke kawasan yang lebih selamat. Untuk sampai ke kawasan tersebut, mereka perlu melalui kawasan yang masih dipenuhi tumbuh-tumbuhan yang belum terbakar.
Keadaan kemudian berubah secara mendadak.
Angin kuat yang terhasil daripada ribut petir secara tiba-tiba menyebabkan api merebak dengan sangat pantas. Menurut National Weather Service, api bergerak pada kelajuan sekitar 10 hingga 12 batu sejam dan memutuskan laluan yang sepatutnya digunakan oleh pasukan tersebut untuk menuju ke kawasan yang lebih selamat.
Keadaan cuaca yang tidak dijangka itu telah menyebabkan kesemua laluan dijilat api dengan pantas, sekali gus memerangkap 19 anggota bomba tersebut di sebuah kawasan berbentuk gaung yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan tebal.
Menyedari mereka terperangkap dan tiada laluan keluar, komander pasukan mengarahkan anggota menyediakan fire shelter, iaitu perlindungan kecemasan yang digunakan anggota bomba hutan apabila mereka tidak lagi mempunyai laluan untuk melarikan diri.

Namun, keadaan api ketika itu sudah terlalu ekstrem.
Kesemua 19 anggota mengerahkan usaha terakhir untuk bertahan, tetapi api akhirnya melanda kawasan tersebut. Mereka maut akibat kecederaan yang disebabkan oleh haba dan kebakaran.
Tragedi menyayat hati itu berlaku sekitar jam 4.42 petang pada 30 Jun 2013.
Menurut rekod National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), api yang bergerak dengan begitu pantas hanya memberikan masa yang amat singkat kepada pasukan tersebut untuk menyediakan tempat perlindungan sebelum mereka semua ditelan api.
Yarnell Hill Fire telah membakar kira-kira 8,400 ekar kawasan dan hanya dapat dikawal pada 10 Julai 2013.
Kebakaran tersebut menyebabkan lebih 600 penduduk terpaksa dipindahkan, manakala 50 struktur dilaporkan musnah. Namun, tragedi paling besar ialah 19 keluarga kehilangan insan tersayang. Bukan itu sahaja, ia turut memberi kesan besar kepada pasukan bomba.
Granite Mountain Hotshots kehilangan hampir keseluruhan pasukannya dalam satu kejadian. Tragedi itu kemudian menjadi antara kemalangan paling tragik dalam sejarah pemadaman kebakaran hutan di Amerika Syarikat dan mendorong siasatan rasmi terhadap faktor cuaca, pergerakan api, keputusan operasi serta keadaan yang membawa kepada kejadian tersebut.
Bagi Prescott dan komuniti pemadam kebakaran hutan, nama 19 anggota tersebut terus dikenang sehingga hari ini.
Kisah Mereka Diangkat Menjadi Filem Only The Brave

Empat tahun selepas tragedi tersebut, kisah Granite Mountain Hotshots diangkat menjadi sebuah filem biopik bertajuk Only The Brave.
Filem arahan Joseph Kosinski itu menampilkan Josh Brolin sebagai Eric Marsh, Miles Teller sebagai Brendan McDonough, Jeff Bridges sebagai Duane Steinbrink, Jennifer Connelly sebagai Amanda Marsh, James Badge Dale sebagai Jesse Steed dan Taylor Kitsch sebagai Christopher MacKenzie.
Filem tersebut bukan sekadar menggunakan Yarnell Hill Fire sebagai latar. Ia mengisahkan perjalanan Granite Mountain Hotshots, daripada usaha mereka untuk mendapatkan status sebagai pasukan hotshot sehingga hubungan yang terjalin antara anggota pasukan sebelum tragedi berlaku.
Beberapa watak utama dalam filem itu juga berdasarkan individu sebenar seperti Eric Marsh, Brendan McDonough, Jesse Steed dan Christopher MacKenzie.
Walaupun mungkin terdapat kisah yang ditokok tambah bagi tujuan penceritaan dan dramatik, apa yang penting ialah gambaran tragedi yang dipaparkan di penghujung cerita.
Filem tersebut membawa penonton kembali kepada tragedi Yarnell Hill Fire, selain memberikan penghormatan kepada 19 anggota Granite Mountain Hotshots yang kehilangan nyawa dalam tragedi sebenar itu.
Walaupun Only The Brave sekadar sebuah filem, cerita yang ditampilkan tetap memaparkan kisah sebenar anggota bomba yang menjalani kehidupan harian, mempunyai keluarga dan rakan, serta keluar bertugas pada pagi 30 Jun 2013 tanpa mengetahui bahawa hari tersebut bakal menjadi hari terakhir mereka.
Itulah yang menjadikan kisah Yarnell Hill Fire begitu memilukan.
