
Astro, syarikat media dan hiburan terkemuka Malaysia, telah mengumumkan pelancaran Astro X3, sebuah perkhidmatan penstriman baharu yang menawarkan pengalaman menonton lebih mudah tanpa memerlukan dekoder, pemasangan atau komitmen kontrak.
Menerusi proses pendaftaran yang ringkas melalui telefon pintar, pelanggan kini boleh menikmati kandungan Astro kegemaran mereka dalam masa beberapa minit sahaja. Inisiatif ini selaras dengan usaha Astro untuk memudahkan akses penonton kepada pelbagai kandungan hiburan, termasuk filem, drama tempatan, program siaran langsung, sukan bertaraf dunia serta kandungan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, Astro X3 mencerminkan komitmen syarikat untuk menjadikan pengalaman menonton lebih mudah dan fleksibel seiring perubahan tabiat tontonan penonton masa kini.
“Di Astro, fokus kami adalah untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan kandungan yang paling dekat di hati mereka – daripada kisah tempatan yang menarik dan hiburan secara langsung hinggalah siaran langsung sukan bertaraf dunia serta kandungan antarabangsa.
“Seiring perubahan tabiat tontonan, Astro X3 mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan Astro lebih mudah dan mudah diakses berbanding sebelum ini. Pelanggan boleh mendaftar terus melalui peranti mudah alih mereka dan mula menstrim serta-merta,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Astro X3 menawarkan kebebasan kepada pelanggan dengan pengalaman tanpa dekoder, tanpa pemasangan dan mulai Disember 2026, tanpa kontrak.
Astro X3: Cara Baharu Menikmati Kandungan Astro
Dibangunkan untuk memenuhi keperluan penonton yang semakin beralih kepada platform penstriman, Astro X3 membolehkan pelanggan mendaftar dan menonton rancangan kegemaran menerusi aplikasi Astro di Smart TV yang serasi.
Selain itu, pengguna turut boleh menikmati pengalaman tontonan merentas pelbagai peranti termasuk Astro GO, memberikan lebih fleksibiliti untuk mengakses kandungan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Antara kandungan yang ditawarkan menerusi Astro X3 termasuk Astro Originals, siaran langsung sukan berprestij seperti Liga Perdana, Liga Juara-Juara AFC dan UEFA, Formula 1, MotoGP, Wimbledon serta kejohanan badminton antarabangsa.
Bagi pelanggan yang meminati hiburan global, Astro X3 turut menyediakan akses kepada pelbagai kandungan hiburan secara langsung serta program eksklusif Astro.
Mulai 20 Julai 2026, pelanggan boleh melanggan Astro X3 melalui dua pilihan pelan kontrak selama 12 bulan:
- Astro X3: Entertainment 12 Pack – RM39.99 sebulan
- Astro X3: Sports 12 Pack – RM89.99 sebulan
Bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna, Astro akan memperkenalkan pelan tanpa kontrak bermula Disember 2026 dengan pilihan:
- Astro X3: Entertainment Pack – daripada RM59.99 sebulan
- Astro X3: Sports Pack – daripada RM109.99 sebulan
Pelanggan juga mempunyai kebebasan untuk melanggan, menunda atau membatalkan perkhidmatan mengikut keperluan mereka. Semua Astro X3: Sports Pack turut merangkumi akses kepada saluran dalam Entertainment Pack.
Barisan Kandungan Baharu Astro Menanti Penonton
Seiring pelancaran Astro X3, Astro turut memperkenalkan barisan kandungan baharu yang bakal menemui penonton dalam beberapa bulan akan datang.
Daripada filem yang dinanti-nantikan, Astro Originals, program siaran langsung utama hinggalah mikrodrama bersaiz pendek, barisan kandungan ini memperlihatkan komitmen Astro dalam membawakan pengalaman hiburan yang lebih pelbagai kepada penonton Malaysia.

Antara filem yang bakal ditayangkan termasuk Terbang, Kudrat 1968 dan HAK: Tuntut atau Tunduk.
Dalam kategori drama pula, Astro bakal mempersembahkan beberapa judul baharu seperti Bulan Henti Bicara, Sumpahan Mencintai, Love of My Life, Jutawan Ekspres 2, Premier League: I Love You, WOLONG: The Mastermind, Maara dan Marmadesam.
Selain itu, Astro juga akan meneruskan penawaran program siaran langsung utama menerusi Signature Live termasuk Big Stage Rocketfuel, Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, Astro Classic Golden Melody Singing Competition 2026 dan Kilauan Emas Selebriti.
Dengan gabungan filem, drama, sukan, hiburan langsung serta kandungan pendek, Astro terus memperluaskan ekosistem kandungannya bagi memenuhi keperluan penonton moden.
Menerusi Astro X3, pengalaman menikmati hiburan kini menjadi lebih mudah dan fleksibel, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk meneroka, menikmati dan berhubung dengan kandungan yang mereka gemari.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Astro X3 dan mendaftarkan minat, layari m.astro.as/x3 atau astro.com.my mulai 20 Julai 2026.
