
Saya pernah berbual dengan beberapa rakan pengulas filem mengenai filem live-action Moana yang baru memulakan tayangan minggu ini.
Antara pandangan kritikal yang saya kongsikan kepada mereka ialah filem terbaharu Disney ini dilihat sekadar untuk menambah kandungan di platform penstriman mereka, bukannya disasarkan sebagai sebuah filem yang mengejar keuntungan besar di pawagam.
Alasan saya agak mudah. Disney dilihat tidak begitu agresif mempromosikan filem ini. Berdasarkan pemerhatian saya terhadap trailer serta bahan-bahan promosinya, kelihatan filem tersebut lebih menepati kualiti sebuah filem yang sesuai untuk penstriman berbanding tayangan di pawagam.
Tayangan di pawagam pula mungkin sekadar bertujuan mendapatkan sebahagian daripada kos pembikinannya kembali, sebelum filem ini akhirnya menjadi antara kandungan utama di platform penstriman mereka.
Ternyata, jangkaan saya tidak meleset. Filem ini terasa seperti kosong, seperti ada yang kurang berbanding filem asal yang saya tonton sedekad yang lalu.
Pada awalnya, saya berharap versi aksi nyata ini mampu mengekalkan aura seperti filem animasi, sama ada dari segi penceritaan, lagu mahupun persembahan lakonan. Namun, harapan saya sekadar tinggal harapan.

Apa yang dipersembahkan dalam filem kali ini hanyalah seperti menyalin semula karya asal ke dalam versi aksi nyata tanpa membawa identiti atau nilai tambah yang benar-benar baharu.
Setiap minit yang berlalu, filem ini terasa semakin kehilangan rentak dan keterujaannya. Malah, lagu-lagu ikonik yang pernah menjadi kegilaan suatu ketika dahulu juga gagal meninggalkan kesan, apatah lagi membangkitkan semula nostalgia menonton versi animasinya bersama anak-anak.
Paling mengecewakan ialah persembahan Dwayne Johnson sebagai Maui. Lakonannya dalam versi aksi nyata kelihatan agak kaku, dan takut-takut, seolah-olah seperti dia baru pertama kali berlakon dalam sebuah filem. Saya merasakan inilah lakonannya yang 'kayu' sepanjang sepanjang kariernya.
Jauh berbeza berbanding ketika beliau menyumbangkan suara untuk watak yang sama dalam versi animasi, yang mana versi animasi kelihatan lebih bertenaga, berkarisma dan berjaya menghidupkan personaliti Maui.
Namun, ada satu perkara yang benar-benar membuatkan saya menghormati keputusan Disney kali ini. Mereka memilih barisan pelakon yang berasal dari Kepulauan Pasifik, khususnya Catherine Laga'aia yang membawakan watak Moana.
Pemilihan pelakon yang mempunyai latar belakang budaya yang selari dengan watak tersebut menjadikan filem ini terasa lebih autentik dan menghormati budaya asal yang menjadi inspirasi kepada kisah Moana.
Persembahan Catherine Laga'aia wajar diberikan pujian kerana berjaya menampilkan lakonan yang meyakinkan, lebih-lebih lagi ini merupakan debut sulungnya sebagai pelakon utama.

Bimbingan dan tunjuk ajar yang diterimanya daripada pelakon suara asal Moana jelas membantu Laga'aia menghayati watak tersebut, sekali gus berjaya menghidupkan heroin utama filem ini dengan baik.
Apa pun, secara keseluruhannya, versi aksi nyata Moana ini terasa seperti sebuah naskhah yang tidak benar-benar diperlukan dan gagal menyamai kualiti filem animasi.
Bagi mereka yang pernah menonton versi animasi, filem ini berkemungkinan besar akan membuatkan anda merasa kecewa kerana gagal mengembalikan aura yang menjadikan filem asal begitu istimewa.
Manakala bagi penonton yang tidak pernah menyaksikan versi asal, Moanamungkin terasa hambar dan kurang bertenaga bagi anda, lebih-lebih lagi dengan persembahan Dwayne Johnson yang tidak begitu menyerlah sebagai Maui.
VERDICT

2.5/5
"Tiada aura, tiada pembaharuan. Versi aksi nyata ini sekadar menghidupkan semula filem animasi dalam bentuk sebenar tanpa menawarkan sesuatu yang baharu atau lebih baik. Ia mungkin masih menghiburkan, tetapi bukan sebuah filem yang akan kekal dalam ingatan seperti versi animasinya."
