
Minggu ini saya telah menonton dua filem remake di pawagam. Pertama, filem Korea The Intern, yang diadaptasi daripada filem Hollywood berjudul sama lakonan Anne Hathaway (anda boleh baca ulasannya di sini), dan satu lagi filem seram Indonesia, Munafik: Melawan Iblis.
Namun, antara kedua-duanya, Munafik: Melawan Iblis lebih menarik perhatian saya kerana ia merupakan remake kepada filem seram popular tempatan, Munafik, arahan Syamsul Yusof. Kenapa saya katakan menarik? Sebab jarang sekali kita melihat filem tempatan dihasilkan semula oleh produksi luar negara. Pada masa sama, timbul satu persoalan - mampukah versi Indonesia ini menyaingi kehebatan filem asal arahan Syamsul Yusof?
Seperti kebanyakan filem remake, versi baharu biasanya masih mengekalkan banyak elemen daripada filem asal, khususnya dari segi penceritaan. Begitu juga dengan Munafik: Melawan Iblis, yang mengekalkan teras plot hampir sama dengan Munafik.

Filem ini masih mengikuti versi asal, dengan kisah yang tertumpu kepada Ustaz Adam yang kehilangan isterinya dalam satu kemalangan. Tragedi tersebut membuatkan hidupnya berubah dan mula meragui ketentuan takdir, malah dia masih sukar menerima hakikat bahawa isterinya telah meninggal dunia.
Dalam masa sama, seorang wanita bernama Fitri telah dirasuk makhluk halus sehingga memaksa Ustaz Anwar meminta bantuan Ustaz Adam. Walaupun telah meninggalkan kerja-kerja rukyah sejak kematian isterinya, Adam akhirnya bersetuju untuk membantu Fitri. Sejak itu, pelbagai kejadian misteri mula menghantui kehidupan mereka.
Di sebalik persamaan dari segi penceritaan, Munafik: Melawan Iblis menyesuaikan ceritanya dengan latar belakang masyarakat Indonesia. Pendekatan ini memberikan sedikit kelainan antara versi remake dengan filem asal.
Bagi saya, perubahan latar tersebut sedikit sebanyak memberikan kesegaran kepada filem ini agar ia tidak terasa seperti sekadar ‘copycat’ yang boleh mengganggu pengalaman menonton. Selain itu, penggunaan unsur-unsur sihir yang disesuaikan dengan adat dan budaya setempat turut memberikan kelainan kepada penonton dalam melihat versi baharu ini.
Bagaimanapun, aspek paling penting dalam versi ini adalah bagaimana produksi Indonesia menyampaikan elemen seramnya, khususnya dalam babak rukyah dan adegan yang melibatkan gangguan makhluk halus. Bagi saya, babak ketika Ustaz Adam merukyah Fitri merupakan antara yang paling intense dalam filem ini, dengan ‘vibe’ yang hampir sama seperti Munafik.

Babak-babak yang melibatkan gangguan makhluk halus juga tidak kurang hebatnya. Munafik: Melawan Iblis berjaya mencipta suasana yang dingin dan menyeramkan sehingga ada ketika saya dapat merasakan bulu roma mula tegak. Ketelitian pasukan produksi dalam menghasilkan visual yang suram, ditambah pula dengan skor bunyi yang eerie tanpa dimainkan secara berlebihan, benar-benar memberikan pengalaman seram yang maksimum.
Terdapat beberapa elemen jumpscare dalam filem ini, tetapi ia bukan satu-satunya tunjang kepada suasana seram yang dibina. Filem ini turut bermain dengan gangguan psikologi serta elemen body horror yang cukup mengganggu. Cecair atau muntah yang keluar dari mulut serta keadaan mayat yang mengerikan antara yang membuatkan saya berasa geli dan tidak selesa ketika menontonnya.
Saya agak tertarik dengan lakonan Arya Saloka sebagai Ustaz Adam. Walaupun watak tersebut cukup sinonim dengan Syamsul Yusof, Arya masih berjaya memberikan identitinya sendiri tanpa perlu terlalu mencuba untuk meniru apa yang pernah dilakukan sebelum ini.
Begitu juga dengan Acha Septriasa sebagai Fitri dan Dimas Aditya sebagai Ustaz Anwar. Kedua-duanya membawakan watak masing-masing dengan cara tersendiri, sekali gus memberikan sedikit perbezaan berbanding karakter yang kita kenali dalam versi asal.

Munafik: Melawan Iblis bagaimanapun melakukan perubahan ketara pada third act, sekali gus membawa hala tuju ceritanya jauh berbeza daripada Munafik.Perubahan tersebut bukan sahaja memberikan kelainan pada bahagian akhir, malah turut membuka ruang untuk francais ini terus dikembangkan, sekurang-kurangnya bagi versi Indonesia.
Selepas menonton filem ini, saya merasakan Munafik: Melawan Iblis adalah satu lagi remake yang sangat baik kerana berjaya berdiri atas kaki sendiri tanpa mengabaikan versi asal. Saya tidak mengatakan filem ini berjaya mengatasi Munafik, tetapi saya akui versi ini tidak terasa kosong dan masih memberikan nilai hiburan yang berbaloi.
Selain itu, dengan melihat cara filem ini berakhir, saya turut teruja untuk mengetahui bagaimana francais Munafik versi Indonesia akan dikembangkan selepas ini. Adakah mereka akan meneruskannya dengan menghasilkan semula Munafik 2, atau memilih untuk membawa francais ini ke arah baharu dengan cerita yang lebih segar?
