
Golden Screen Cinemas (GSC) terus memperkukuhkan pengalaman hiburan di Malaysia apabila mengumumkan pembukaan rasmi dewan IMAX with Laser terbaharunya di GSC IOI Mall Damansara bermula 16 Julai ini.
Pembukaan tersebut menjadikan GSC IOI Mall Damansara sebagai lokasi keenam IMAX di bawah rangkaian GSC, sekali gus membawakan teknologi pawagam premium bertaraf dunia kepada lebih ramai penonton di sekitar Petaling Jaya dan Damansara.
Dengan penambahan lokasi baharu ini, GSC kini mempunyai enam dewan IMAX di seluruh negara, termasuk di GSC IOI City Mall 2, GSC KL East Mall, Aurum Theatre di The Exchange TRX, GSC Paradigm Mall Johor Bahru dan GSC Mid Valley Southkey Johor Bahru.
Menurut GSC, syarikat itu turut merancang untuk membuka lebih banyak dewan IMAX pada masa hadapan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman menonton filem dalam format premium.

Teknologi IMAX with Laser Tawarkan Visual dan Audio Bertaraf Premium
Dewan IMAX with Laser di GSC IOI Mall Damansara menggunakan teknologi unjuran laser 4K generasi baharu yang menawarkan imej lebih tajam, visual lebih terang, kontras lebih mendalam serta warna yang lebih hidup berbanding sistem tayangan konvensional.
Pengalaman tersebut turut dipertingkatkan dengan sistem audio 12 saluran yang menghasilkan bunyi lebih tepat dan menyeluruh, sekali gus memberikan pengalaman sinematik yang lebih mengasyikkan daripada babak paling senyap sehingga aksi yang paling mendebarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee berkata, pihaknya melihat semakin ramai penonton memilih format premium seperti IMAX kerana mahukan pengalaman menonton yang lebih imersif.
“Pembukaan dewan IMAX with Laser di GSC IOI Mall Damansara, yang juga lokasi IMAX keenam kami di Malaysia, membolehkan lebih ramai penonton di Lembah Klang menikmati pengalaman sinematik bertaraf premium. Filem-filem blockbuster seperti The Odyssey terus meningkatkan permintaan terhadap format IMAX dan kami komited untuk terus mengembangkan penawaran ini pada masa akan datang,” katanya.
Tiket Promosi, GSCoins Berganda dan Barangan Eksklusif The Odyssey

Sempena pembukaan dewan baharu ini, GSC menawarkan harga promosi RM28.50 bagi setiap tiket IMAX with Laser berbanding harga biasa RM36.50. Promosi ini akan berlangsung sehingga dimaklumkan kelak.
Ahli GSC Rewards turut menikmati promosi istimewa mengikut kategori keahlian masing-masing:
- Silver – Beli 3 tiket, percuma 1 tiket.
- Gold – Beli 2 tiket, percuma 1 tiket.
- Platinum – Beli 1 tiket, percuma 1 tiket.
Dalam masa sama, 3,000 pelanggan pertama yang menonton di IMAX with Laser GSC IOI Mall Damansara akan menerima ganjaran tiga kali ganda GSCoins.

Bagi peminat filem The Odyssey, GSC turut menyediakan koleksi eksklusif sepanjang stok masih ada. Setiap pembelian tiket IMAX akan menerima poster IMAX bersaiz A3 edisi terhad, manakala pembelian dua tiket bagi tayangan terpilih pula akan disertakan dengan pin logam eksklusif filem tersebut.
Bakal Tayangkan Filem Blockbuster Terbesar Tahun Ini
Pelbagai filem blockbuster akan menemui penonton dalam format IMAX with Laser sepanjang tahun ini, termasuk The Odyssey, The End of Oak Street yang dijadualkan pada Ogos, Resident Evil pada September serta beberapa lagi judul utama yang bakal diumumkan.
Tiket untuk semua tayangan di dewan IMAX with Laser GSC IOI Mall Damansara kini telah mula dijual menerusi aplikasi rasmi GSC.


