
Other Mommy mencatatkan pembukaan yang baik di pawagam apabila meraih US$45.19 juta di seluruh dunia, meskipun filem seram lakonan Jessica Chastain itu menerima ulasan negatif daripada pengkritik dan penonton.
Menurut Variety, filem terbitan Universal dan Blumhouse itu mengatasi jangkaan awal dengan kutipan US$27.5 juta di Amerika Utara, selain US$17.69 juta daripada pasaran antarabangsa. Jumlah tersebut memberikan permulaan yang memberangsangkan bagi sebuah filem dengan bajet produksi US$18 juta.
Namun, persoalannya kini ialah sejauh mana Other Mommy mampu mengekalkan sambutan tersebut. Filem ini memperoleh skor pengkritik hanya 19% di Rotten Tomatoes serta gred D+ daripada tinjauan penonton CinemaScore. Penganalisis box office David A. Gross menjangkakan kutipannya akan merosot dengan ketara selepas minggu pembukaan.
Arahan Rob Savage, Other Mommy mengisahkan seorang kanak-kanak yang berdepan entiti menyerupai ibunya sendiri. Filem ini sudah ditayangkan di Malaysia sejak 8 Oktober.
Filem yang bakal ditayangkan di Malaysia, The Social Reckoning pula gagal menarik jumlah penonton seperti yang diharapkan. Filem drama yang ditulis dan arahan Aaron Sorkin itu hanya mengumpul US$9 juta dipasaran global, dengan kutipan di pasaran domestik AS sekitar US$5.5 juta dan US$3.5 juta daripada 29 pasaran antarabangsa.
Dengan kos produksi US$30 juta, kutipan pembukaan tersebut meletakkan filem ini dalam kedudukan yang sukar. Penerimaan dikalangan pengkritik juga bercampur, dengan skor pengkritik 54% di Rotten Tomatoes dan manakala CinemaScore memberikan gred B-.
Dibintangi Mikey Madison dan Jeremy Allen White, The Social Reckoning mengikuti usaha seorang jurutera Facebook mendedahkan amalan syarikat itu dengan menyerahkan ribuan dokumen dalaman kepada wartawan. Penonton Malaysia boleh menyaksikan filem ini mulai 15 Oktober.
Sementara itu, Resident Evil mencipta satu lagi pencapaian yang memberansangkan apabila jumlah kutipan globalnya mencecah US$300 juta selepas empat hujung minggu tayangan dipawagam. Filem adaptasi permainan video dengan bajet US$75 juta itu memberikan Sony satu lagi kejayaan kutipan tahun ini, selain Spider-Man: Brand New Day.
Verity turut melepasi paras US$100 juta dengan jumlah kutipan global sebanyak US$113 juta. Filem thriller psikologi lakonan Anne Hathaway dan Dakota Johnson itu diadaptasi daripada novel Colleen Hoover dan dihasilkan dengan bajet US$40 juta.
Walaupun jumlah keseluruhannya sudah jauh melebihi kos produksi, sambutan di Amerika Utara mula perlahan apabila kutipan hujung minggu kedua merosot sebanyak 64%. Verity telah ditayangkan di Malaysia pada 1 Oktober.
Bagi Digger, kutipan global sebanyak US$35.3 juta masih jauh daripada kos produksinya yang dilaporkan melebihi US$160 juta. Filem satira lakonan Tom Cruise itu turut mengalami penurunan kutipan sebanyak 60% pada hujung minggu kedua di Amerika Utara.
Beberapa nama Hollywood, termasuk Anne Hathaway, Jane Fonda dan Guillermo del Toro, tampil memuji Digger serta menggalakkan penonton menontonnya di pawagam. Bagaimanapun, kutipan semasa menunjukkan filem itu masih berdepan kesukaran menarik penonton. Variety melaporkan unjuran kerugian daripada tayangan pawagam sebanyak US$245 juta.
