
Walt Disney Studios sekali lagi membuktikan dominasinya di pawagam global apabila muncul sebagai studio pertama pada tahun 2026 yang berjaya melepasi kutipan box office sebanyak AS$3 bilion di seluruh dunia.
Pencapaian itu hadir susulan kejayaan besar filem animasi terbaharu Pixar, Toy Story 5, yang mencatat pembukaan kedua terbesar dalam sejarah filem Pixar dengan kutipan AS$312 juta di peringkat global. Filem arahan Andrew Stanton itu kini telah mengumpul lebih AS$367 juta di seluruh dunia dan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan di pawagam.
Selain kejayaan Toy Story 5, Disney turut menikmati kutipan kukuh menerusi beberapa filem lain di bawah rangkaian studionya. Antaranya ialah The Devil Wears Prada 2 terbitan 20th Century Studios yang meraih AS$677.6 juta, sekali gus menjadikan francais tersebut melepasi angka AS$1 bilion secara keseluruhan.
Filem Star Wars: The Mandalorian and Grogu pula berjaya mengutip lebih AS$323 juta di seluruh dunia, manakala filem animasi Pixar Hoppers meraih AS$372 juta. Turut menyumbang kepada prestasi Disney ialah filem seram Send Help yang mengutip AS$94 juta.

Disney juga masih menerima manfaat daripada kejayaan filem-filem hujung tahun 2025 seperti Avatar: Fire and Ash dan Zootopia 2, yang terus mencatat kutipan memberangsangkan pada tahun ini.
Lebih menarik, kesemua filem Disney yang ditayangkan di pawagam sepanjang 2026 berjaya menduduki tangga pertama carta box office ketika minggu pembukaannya.
Sepanjang sedekad lalu, Disney turut mengekalkan reputasinya sebagai studio nombor satu dunia dengan mendominasi kutipan box office global dalam sembilan daripada 10 tahun terakhir.
Prestasi Disney dijangka terus meningkat menerusi beberapa judul utama yang bakal ditayangkan sepanjang baki tahun ini.
Antaranya termasuk filem aksi nyata Moana pada 10 Julai, filem arahan Ridley Scott The Dog Stars pada 28 Ogos, animasi baharu Walt Disney Animation Studios berjudul Hexed pada 25 November, serta filem yang paling dinanti peminat Marvel, Avengers: Doomsday, yang dijadualkan menemui penonton pada 18 Disember.
Sumber: Deadline
