
Toho telah melancarkan trailer kedua Godzilla Minus Zero, sekuel kepada filem popular Godzilla Minus One (2023), yang sekali lagi menyaksikan kemunculan raksasa ikonik itu untuk mengancam Jepun.
Berlatarbelakangkan tahun 1949, dua tahun selepas peristiwa filem pertama, Godzilla Minus Zero mengikuti keadaan Jepun yang sedang berusaha membangunkan semula negara selepas kemusnahan akibat Perang Dunia Kedua dan serangan Godzilla.
Ketika penduduknya mula menikmati kehidupan yang lebih aman selepas melalui pelbagai kesukaran, satu ancaman baharu muncul dan sekali lagi memusnahkan harapan mereka untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Sekuel ini menyaksikan Takashi Yamazaki kembali sebagai pengarah, penulis skrip dan penyelia kesan visual (VFX), selepas kejayaan beliau menerusi Godzilla Minus One.
Dua pelakon utama filem terdahulu, Ryunosuke Kamiki dan Minami Hamabe, turut kembali membawakan watak masing-masing.
Godzilla Minus Zero merupakan produksi Jepun pertama yang dihasilkan dengan format Filmed for IMAX. Penggambarannya dijalankan sepenuhnya di Jepun menggunakan kamera digital berdefinisi tinggi yang diperakui IMAX, dengan visual dan audio dioptimumkan khusus untuk tayangan di layar IMAX.
Godzilla Minus Zero dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 5 November 2026.
Sumber: Bloody Disgusting.

