
Lionsgate telah melancarkan trailer pertama Above the Below, sebuah filem thriller survival sains fiksyen lakonan Idris Elba yang menyaksikan tiga angkasawan terperangkap di dasar laut selepas misi mereka berakhir dengan tragedi.
Filem ini mengisahkan tiga angkasawan yang terselamat daripada kemalangan ketika kembali ke Bumi. Bagaimanapun, kapsul angkasa mereka terhempas ke dalam lautan dan tenggelam ke dasar laut, menyebabkan ketiga-tiganya terperangkap dengan bekalan oksigen yang semakin berkurangan.
Dalam keadaan yang semakin kritikal, mereka perlu mencari jalan untuk menyelamatkan diri sebelum kehabisan oksigen. Namun, usaha tersebut memerlukan mereka membuat keputusan sukar, termasuk menentukan siapa yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk sampai ke permukaan dan siapa yang mungkin terpaksa ditinggalkan.
Trailer yang baru dilancarkan memperlihatkan Idris Elba sebagai Jackson, ketua kru yang cuba mengawal keadaan ketika mereka berdepan situasi yang semakin mencemaskan.
Antara babak yang dipaparkan ialah perbualan Jackson dengan juruterbang Brooks, lakonan Caitlin FitzGerald, yang mula hilang keyakinan untuk meneruskan usaha menyelamatkan diri. Jackson cuba menenangkannya sebelum trailer beralih kepada beberapa adegan cemas yang memperlihatkan keadaan di dalam kapsul semakin tidak terkawal.
Dengan ruang yang sempit, tekanan air yang tinggi dan bekalan oksigen yang semakin menyusut, trailer tersebut memberikan gambaran tentang cabaran yang perlu dihadapi oleh ketiga-tiga angkasawan untuk terus hidup.
Selain Elba dan FitzGerald, filem ini turut dibintangi Hero Fiennes Tiffin.
Above the Below juga menyaksikan Idris Elba bertindak sebagai pengarah bersama Martin Owen. Skripnya ditulis oleh Elizabeth Morris, Matt Mitchell dan Vicki Sargent berdasarkan cerita asal Owen, manakala Gina Carter dan Matt Williams bertindak sebagai penerbit.
Menggabungkan elemen survival angkasa lepas dan lautan dalam, Above the Below dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia pada 4 Disember 2026, dengan edaran oleh Antenna Entertainments.
